GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 582 saman dan menyita 26 motosikal dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2026 yang dijalankan di seluruh negeri ini.
Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk yang dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan 165 pegawai dan anggota PDRM, selain kerjasama strategik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu bermula 8.30 malam semalm hingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, fokus utama operasi adalah bagi memastikan keselamatan, kelancaran lalu lintas serta mencegah aktiviti samseng jalanan dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Seramai 677 individu dan 626 kenderaan telah diperiksa di seluruh negeri dengan anggaran 500,000 kenderaan memasuki kawasan pulau sepanjang tempoh sambutan ambang tahun baharu.
“Sebanyak 26 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dan pengubahsuaian tidak dibenarkan.
Selain itu, 582 saman telah dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi melibatkan motosikal seperti tiada nombor pendaftaran, tidak mempamerkan pelekat P, pengubahsuaian struktur serta ekzos tidak mengikut spesifikasi,” katanya.
“Sepanjang operasi itu dijalankan, kita telah membuat satu tangkapan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol hasil ujian saringan dan ujian pernafasan yang melebihi had dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azizee memaklumkan, JPJ turut mengeluarkan 192 notis saman manakala AADK menjalankan 41 ujian saringan dadah dengan satu kes positif direkodkan.
“JAS pula melaksanakan 35 ujian meter bunyi, diikuti 20 notis ujian semula dan 20 tindakan kompaun ke atas kenderaan yang melanggar peraturan.
“Operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta menghalang sebarang aktiviti yang boleh mengancam ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan secara haram serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya. – MalaysiaGazette
















