MELAKA – Lima lelaki dikesan melakukan kesalahan membuang sampah di kawasan awam sekitar Encore Melaka pada hari pertama penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bermula semalam.
Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) itu dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ir Zulkifli Tamby Chik berkata, kesemua pesalah terbabit dikesan ketika sambutan Tahun Baharu sedang berlangsung di lokasi berkenaan hasil operasi penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya.
“Tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada operasi serentak di tujuh negeri, melibatkan keseluruhan 42 pesalah, dengan Melaka merekodkan lima kes pada hari pertama pelaksanaan akta berkenaan.
“Kesemua pesalah di Melaka adalah lelaki dewasa berusia 20 hingga 60 tahun yang dikesan membuang sampah di kawasan luar bangunan Encore Melaka ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara sisa yang dibuang termasuk puntung rokok, botol plastik, tin minuman, kertas tisu serta bungkusan makanan, sekali gus mencemarkan kawasan tumpuan awam yang dipenuhi pengunjung.
“Semasa operasi dijalankan, pegawai penguat kuasa hanya mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kepada pesalah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Proses seterusnya ialah melengkapkan kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah dan keputusan perintah khidmat masyarakat akan ditentukan selepas pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, SWCorp menggesa orang awam agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, khususnya di kawasan tumpuan awam dan lokasi penganjuran acara berskala besar.
“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab melalui aplikasi WhatsApp SWCorp di talian 013-210 7472 bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Penguatkuasaan PKM di bawah Akta 672 dilihat sebagai pendekatan mendidik masyarakat melalui hukuman berbentuk khidmat kepada komuniti bagi membanteras tabiat membuang sampah secara sewenang-wenangnya.
Selain Perintah Khidmat Masyarakat, pesalah juga boleh dikenakan denda natara RM2,000 dan RM10,000 bagi kesalahan sama. – MalaysiaGazette
















