JOHOR BAHRU – Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menyifatkan kemelut politik yang melanda Perlis ketika ini adalah kesinambungan corak berpolitik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sarat dengan pengkhianatan.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, apa yang berlaku di Perlis bukan suatu kejutan kerana ia jelas menunjukkan bagaimana Bersatu di bawah teraju Perikatan Nasional (PN) telah mengkhianati Pas.
Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, gerakan menyingkirkan Menteri Besar Perlis dalam kalangan Pas baru-baru ini adalah antara bukti dakwaan tersebut.
“Hakikat ini membuktikan bahawa Bersatu tidak pernah menghormati rakan sekutunya dan Pas sekali lagi menjadi mangsa kepada kerakusan kuasa parti tersebut.
“Pakatan Harapan (PH) Johor mempunyai pengalaman pahit yang jelas bersama-sama Bersatu, khususnya pengkhianatan terhadap mandat rakyat selepas kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila jawatan Menteri Besar Johor dirampas melalui percaturan politik.
“Ini diikuti episod kerajaan tebuk atap di Johor yang mencetuskan ketidakstabilan dan mengkhianati kepercayaan pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuhan berkata, berdasarkan pengalaman dan realiti itu Amanah Johor mempelawa ahli, penyokong dan pengundi Pas serta PN yang semakin hilang kepercayaan terhadap Bersatu khususnya terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan berani menewaskannya di Parlimen Pagoh dengan memberikan sokongan kepada calon PH nanti.
Langkah itu katanya, bukan sekadar isyarat penolakan terhadap politik pengkhianatan, malah akan melemahkan pengaruh dan ‘taring’ Muhyiddin dalam percaturan kuasa nasional yang selama ini dibina atas pengkhianatan mandat rakyat dan rakan gabungan.
“Amanah Johor percaya bahawa pengundi Pagoh dan rakyat Johor secara keseluruhannya berhak kepada kepimpinan yang berprinsip, konsisten dan menghormati amanah, bukannya tokoh politik yang berulang kali mencetuskan perpecahan demi kepentingan peribadi dan kuasa,” katanya.- MalaysiaGazette
















