Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO perlu mencadangkan Mesyuarat Agung Khasnya diadakan untuk melaksanakan pemilihan jawatan presidennya dan bukan menuntut parti itu menarik diri daripada kerajaan Perpaduan dalam Konvensyennya hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah tersebut adalah wajar dalam usaha mengembalikan jawatan Presiden UMNO yang adil dan bersih supaya demokrasi dapat dikembalikan dalam UMNO dengan segera sebelum pilihan raya.

Beliau melihat suara Pemuda UMNO itu sebagai satu jihad yang sebenarnya adalah memperjuangkan strategi serampang dua mata.

“Pertama lawan dan tentang rasuah dalam kepimpinan UMNO dulu dan sekarang. Kedua kembalikan demokrasi ke dalam UMNO dengan jawatan Presiden UMNO mesti dipertandingkan dengan bebas.

“Jika ini dapat dilakukan maka Pemuda UMNO pimpinan Dr Akmal Salleh akan diiktiraf telah menjalankan tugas sejarahnya yang amat bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemuda UMNO hari ini akan menganjurkan konvensyen khas di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Konvensyen bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.

Terdahulu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh secara terbuka menggesa parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan Madani susulan tidak berpuas hati dengan kes Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Hassan menyifatkan inisiatif Pemuda UMNO itu penting dengan mengambil balik hak dan peranannya untuk melaksanakan demokrasi bersuara dalam parti yang dalam beberapa tahun ini kelihatan mati.

“Saya sebenarnya tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusan UMNO sama ada ia hidup ataupun mati. Saya tidak pernah seumur hidup saya menjadi ahli UMNO.

“Tetapi UMNO pernah menjadi parti politik arwah ibu saya. Ibu saya pernah menjadi anggota kaum ibu UMNO di kampung kami di zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak menjadi Presiden UMNO,” ujarnya.

Malah sampai ke hari ini katanya, UMNO masih kuat di peringkat akar umbi di kampungnya iaitu tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan di Pontian.

“Kaum kerabat saya dari peringkat bapa saudara, bapa mertua dan datuk saudara adalah pengasas UMNO belaka dan pemimpin UMNO di peringkat asas paling bawah organisasi UMNO di kampung kami,” katanya.

Akmal Salleh katanya, pasti tahu apa yang beliau patut lakukan dan mengakui tidak perlukan nasihat dari orang luar UMNO sepertinya.

“Namun kerana UMNO ini ada lebih tiga juta orang Melayu maka saya memberanikan diri memberi pandangan jujur saya untuk kebaikan UMNO supaya kekal relevan dan terus wujud sebagai satu wadah politik orang-orang Melayu dan Islam di Malaysia ini.

“Jika Pemuda UMNO muncul di barisan hadapan dalam membersihkan kepimpinan UMNO daripada gejala rasuah supaya parti UMNO yang besar ini kembali bersih seperti zaman kepimpinan awal UMNO dahulu, maka setengah dari matlamat untuk UMNO menjadi kuat telah tercapai,” katanya.

Hassan menganggap adalah satu kesilapan jika Pemuda UMNO dalam tempoh pilihan raya umum yang akan sampai setahun dua ini muncul sebagai juara mempertahankan pemimpin UMNO yang telah terpalit dan didapati bersalah dalam skandal 1MDB.

Jelasnya, skandal tersebut menyebabkan negara ini menanggung beban hutang berpuluh billion ringgit yang terpaksa diwarisi kepada generasi berikutnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast