Datuk Mohd Shahar Abdullah merasmikan Program Jom Kembali ke Sekolah Perlimen Paya besardi Dewan Ibnu Khaldun di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, hari ini

KUANTAN – Pembinaan Pusat Komuniti Paya Besar di Gambang, di sini yang menelan kos hampir RM 5 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari depan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sehingga kini status  kemajuan pembinaan pusat itu sudah mencapai 94 peratus.

“Kita akan menerima bangunan tersebut pada bulan depan. Ini akan menjadi gerak kerja yang baru untuk kita mengangkat masyarakat di Parlimen Paya Besar paling besar ini ke tahap yang lebih baik iaitu di peringkat dunia.

“Di sini juga kita akan melibatkan dengan pemegang-pemegang taruh bukan sahaja di peringkat nasional tetapi pemegang-pemegang taruh di peringkat global,” katanya.

Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata demikian sejurus menyampaikan barangan keperluan pelajar sempena Program Jom Kembali ke Sekolah di Dewan Ibnu Khaldun di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini hari ini.

Menurut Shahar projek tersebut disokong oleh pelbagai sumber, termasuk bantuan daripada Kementerian Kewangan, peruntukan peribadi wakil rakyat, dan dana daripada agensi-agensi kerajaan.

Pusat Komuniti Paya Besar sudah mencapai siap 94 peratus pembinaannya terletak di belakang Tasik Paya Besar, di Kuantan.

Projek berkenaan selari dengan Pelan Tindakan Khas Bandar Baru Paya Besar 2030 merupakan inisiatif bawah visi “Your Better Society 2040” untuk mengangkat taraf hidup masyarakat, khususnya golongan B40.

Ia dinamakan sebagai The East (Epistemic Advancement for Society and Technology) yang menekankan empat tonggak utama iaitu melalui teknologi, inovasi, kemanusiaan, dan kemampanan.

Salah seorang pelajar menerima bantuan persekolahan dalam program Jom Kembali ke Sekolah Parlimen Paya Besar mencuba kasut bersama ibunya di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai  574 keluarga daripada golongan B40 dan miskin tegar yang merangkumi 16 kawasan Felda dalam Parlimen Paya Besar menerima sumbangan lapan barangan keperluan seperti beg, kasut, pakaian beragam dan lain-lain.

Tambahnya, pemilihan penerima dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Usaha tersebut bertujuan untuk mengangkat taraf hidup mereka dan memastikan peluang pendidikan tidak hanya tertumpu kepada pelajar di sekolah-sekolah cemerlang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast