JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad mempersoalkan dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh dalam konvensyen khasnya hari ini bahawa Islam dan bangsa Melayu sedang diinjak.
“Akmal Saleh dalam konvensyen khas hari ini ada menyatakan agama dan bangsa kita sedang diinjak.
“Bila dan di mana kejadian bangsa Melayu di Malaysia ini sedang diinjak? Presiden kamu itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Cuba tanya dia,” ujar Faezuddin yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai dalam kenyataan ringkas.
Pemuda UMNO hari ini menganjurkan konvensyen khas di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Konvensyen bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Terdahulu Akmal Salleh secara terbuka menggesa parti menarik sokongan daripada Kerajaan Madani susulan tidak berpuas hati dengan kes Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.- MalaysiaGazette
















