BAYAN LEPAS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan pemantauan terhadap ajaran sesat di negara ini bagi mengelakkan pergerakan berkenaan berkembang ke arah ekstrem sehingga melintasi garisan keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemantauan dijalankan bagi mengesan lebih awal sebarang perkembangan yang boleh mencetuskan tindakan luar jangka sehingga menjejaskan keselamatan.
“Ada pihak mengatakan kenapa pihak polis nak ambil berat berhubung ajaran sesat kerana ia bukan isu polis.
“Mereka tak faham, awal bermula dengan ajaran sesat kemudian akan berkembang kepada keganasan, militan yang ekstrem termasuk merancang melakukan serangan membunuh orang.
“Jadi kita kena pantau kalau mereka (kumpulan ajaran sesat) melintasi garisan keselamatan (ekstrem) kita kena ambil tindakan, takkan kita nak biarkan sampai ia berlaku baru kita nak buat tangkapan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai aktiviti ajaran sesat dalam negara.
Terdahulu Ayob Khan menyertai acara kayuhan berbasikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di sini, malam tadi.
Pelepasan rasmi kayuhan disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail.
Mengulas lanjut, Ayob Khan turut mengambil contoh pengalaman lampau melibatkan Jemaah Islamiah yang pada awalnya bermula dengan ajaran sesat sebelum berkembang menjadi ancaman keselamatan.
“Kita lihat Jemaah Islamiah pun bermula dengan ajaran sesat pada 1985 kemudian jadi ekstrem sebab itu tanggapan bahawa ajaran sesat bukan isu polis itu tidak wajar,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas penglibatan ajaran sesat, Ayob Khan berkata, kebanyakan pergerakan yang dipantau melibatkan rakyat tempatan walaupun terdapat pengaruh dari luar negara.
“Selain itu, sejak dulu lagi kita bekerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Agama, Jabatan Mufti, Jakim dan agensi berkaitan dalam menangani isu ajaran sesat,” katanya.
Media pada 1 Januari lalu melaporkan sebanyak 14 ajaran yang difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif di negara ini dengan lapan daripadanya di dalam pemantauan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 154 ajaran difatwa sebagai sesat sejak 1950 hingga kini.
“Daripada jumlah itu sebanyak 114 ajaran sesat yang dikenal pasti serta diberi tumpuan oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Antaranya Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah, The Ahmadi Religion of Peace and Light,” katanya. – MalaysiaGazette
















