KUALA LUMPUR – Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu ditentukan sepenuhnya melalui keputusan Ahli Majlis Tertinggi PN berdasarkan merit, sokongan majoriti kepimpinan serta keupayaan menyatukan gabungan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia bukannya ditafsir sebagai penyerahan kuasa kepada mana-mana parti komponen susulan peletakan jawatan pengerusi sebelum ini.
Beliau menegaskan, pencalonan pengerusi baharu PN terbuka kepada mana-mana pemimpin daripada parti-parti komponen dalam gabungan itu tanpa terikat kepada parti tertentu termasuk kemungkinan calon daripada Bersatu, parti mantan Pengerusi PN.
“Prinsip keterbukaan tersebut penting bagi memastikan PN terus berfungsi sebagai sebuah gabungan politik yang berteraskan muafakat, kebersamaan serta pembuatan keputusan secara kolektif.
“Pengerusi PN perlu dipilih berdasarkan merit, memperoleh sokongan majoriti kepimpinan tertinggi serta memiliki kewibawaan dan kebolehan untuk memimpin. Lebih penting, individu ini mesti mampu menerajui PN ke arah kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemilihan pengerusi bukan sekadar untuk mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya perlu melahirkan seorang pemimpin yang mampu menyatukan keseluruhan komponen PN, merapatkan saf kepimpinan serta mendamaikan sebarang kemelut dan perbezaan yang wujud dalam gabungan.
Mohd Yadzil menegaskan, keutamaan mutlak PN adalah kepentingan gabungan dan keyakinan rakyat yang harus mengatasi kepentingan individu atau hierarki parti.
“Semua pihak perlu mempunyai semangat dan matlamat yang sama untuk memperkasakan PN, sekaligus meyakinkan rakyat bahawa PN bersedia memimpin kerajaan selepas PRU akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata semua parti komponen termasuk Pas wajar menerima dengan hati terbuka sekiranya calon daripada parti masing-masing tidak memperoleh sokongan majoriti kepimpinan PN, sekiranya dicalonkan.
Pada masa sama katanya, Bersatu juga perlu bersedia menerima keputusan bersama termasuk sekiranya calon daripada parti tersebut, walaupun bukan presiden parti dipilih berdasarkan keyakinan dan sokongan kepimpinan tertinggi PN.
Mohd Yadzil turut mencadangkan agar Majlis Presiden PN dibentuk sebagai langkah memperkukuh struktur gabungan supaya PN kekal relevan serta hubungan antara parti komponen terus terpelihara.
“Semua parti komponen digalakkan menghentikan polemik dan perbezaan yang boleh melemahkan PN, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh organisasi, memperkemas jentera dan mendekati rakyat.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga,” katanya. – MalaysiaGazette
















