KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka dan menyertai Pas.
DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, ia bagi membuktikan segala slogan penyatuan Melayu yang dibuat Dr. Muhamad Akmal bukan sekadar retorik untuk meraih simpati politik semata-mata.
Menurutnya, hubungan rapat antara Dr. Muhamad Akmal dengan Pas juga bukan lagi rahsia, malah beliau sendiri tidak pernah berasa malu dengan dakwaan bertindak seperti ejen Perikatan Nasional (PN).
“Semua yang celik politik akan sedar bahawa slogan Akmal Saleh adalah sekadar lakonan politik dan tidak akan mendapat sambutan, namun Akmal bolehlah menjadi teladan dengan meletakkan jawatan terlebih dahulu.
“Yang hairannya, Akmal Saleh sendiri tidak berani untuk melepaskan kuasa dan jawatan tetapi asyik mendesak pemimpin parti sendiri untuk keluar daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, Dr Muhamad Akmal sepatutnya membangkitkan mengenai keperluan sebenar masyarakat Melayu daripada sibuk melaungkan slogan `perpaduan Melayu’.
Katanya, masyarakat berbilang kaum tidak memerlukan retorik kosong, lakonan politik berlebihan, atau politik perpecahan berdasarkan kaum, tetapi memerlukan dasar kerajaan yang berkesan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Dalam masa sama, DAPSY Kebangsaan turut mempersoalkan sama ada hasrat Dr Muhamad Akmal untuk bersama-sama Pas mempertahankan orang Melayu bermaksud seluruh kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri; menteri dan Menteri Besar UMNO gagal mempertahankan kepentingan Melayu.
“Tuduhan Akmal Saleh yang tidak berasas ini adalah cukup teruk sekali, maka pimpinan UMNO wajib tampil untuk menyangkal tuduhan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















