KUALA LUMPUR – Perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Salang, Pulau Tioman yang terjejas akibat cuaca buruk sejak pertengahan Disember lalu disahkan pulih sepenuhnya, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan perkhidmatan selular 2G dan 4G itu sebelum ini menjejaskan hampir 100 penduduk susulan kerosakan serius pada stesen pemancar selular di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, aduan berkaitan gangguan perkhidmatan diterima daripada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain serta penduduk setempat.
“MCMC mendapati stesen pemancar selular di Kampung Salang yang diselia oleh CelcomDigi dan menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) mengalami kerosakan teruk, menyebabkan perkhidmatan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile terputus sejak 17 Disember 2025,” katanya.
Bagaimanapun, MCMC memaklumkan perkhidmatan jalur lebar tetap Unifi didapati beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Dalam pada itu, MCMC menjelaskan daripada keseluruhan sembilan stesen pemancar selular di Pulau Tioman, hanya stesen di Kampung Salang terjejas manakala lapan stesen pemancar lain berfungsi dengan baik.
Menurut MCMC, faktor keselamatan serta perkhidmatan feri yang terhad sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan pasukan teknikal CelcomDigi hanya dapat tiba di Pulau Tioman pada 31 Disember 2025 bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian peralatan yang rosak.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu penyedia perkhidmatan dari segi pengangkutan dan sokongan logistik, khususnya ketika musim MTL,” katanya. – MalaysiaGazette
















