Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan dikenakan penalti tahun ini.

LHDN dalam kenyataan berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri berhubung pemberian tempoh peralihan kepada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian dan bukan penggajian seperti sewa, faedah dan royalti bagi pematuhan CP500 untuk Tahun Taksiran 2026.

Dalam tempoh peralihan ini, katanya, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500.

Bagaimanapun, pembayar cukai digalakkan untuk membuat bayaran ansuran CP500 secara sukarela bagi membantu mengurangkan beban bayaran baki cukai semasa pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak.

“Selaras dengan konsesi pengenaan penalti yang diumumkan, tiada keperluan untuk pembayar cukai yang hanya mempunyai punca pendapatan penggajian sahaja untuk mematuhi arahan bayaran ansuran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah LHDN, pihaknya akan menghubungi pembayar cukai yang terbabit untuk menjelaskan sebarang kesilapan laporan pendapatan dalam BNCP yang sudah dikemukakan oleh pembayar cukai sebelum ini.

Katanya, pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi Tahun Taksiran 2026, boleh berbuat demikian tidak lewat daripada 30 Jun 2026 bagi pindaan pertama.

Manakala pindaan kali kedua tidak lewat daripada 31 Oktober 2026.

Pagi tadi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois tanpa penalti selama setahun bagi syarikat dengan nilai jualan RM1 juta hingga RM5 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian cukai perkhidmatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast