KUALA LUMPUR – Perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti-parti Melayu Islam khususnya antara Pas dan UMNO bukan berpunca daripada perbezaan akidah atau ideologi sebaliknya hanya perbezaan pendekatan politik yang sepatutnya boleh dirunding dan disatukan demi kepentingan umat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perpaduan umat Islam perlu diutamakan berlandaskan teladan Rasulullah SAW yang berjaya menyatukan kabilah Arab sekali gus membebaskan bangsa daripada kejahilan agama.
Beliau menegaskan, perbezaan pendekatan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
“Terdapat segelintir pihak yang menganggap Pas lebih berbahaya berbanding DAP walaupun parti itu disifatkan mempunyai elemen ekstrem sehingga sanggup meninggalkan kerjasama sesama Islam atas faktor jawatan dan kepentingan sampingan yang disifatkan sebagai pendekatan bercanggah dengan tuntutan agama,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebook hari ini.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, penyertaan pihak tertentu dalam gabungan politik sedia ada telah dimanfaatkan oleh kumpulan ekstrem untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pentadbiran sekali gus berpotensi menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan, masyarakat bukan Islam yang tidak bersifat ekstrem tidak perlu bimbang terhadap kedudukan mereka dalam kerangka Islam kerana ajaran al-Quran menuntut keadilan dan kesejahteraan bersama malah lebih wajib dipatuhi berbanding janji manifesto pilihan raya.
Merujuk kepada sirah nabi, Abdul Hadi mengingatkan demi perpaduan umat, Rasullullah SAW pernah memaafkan kesalahan jenayah besar yang dilakukan sebelum Islam berkuasa termasuk memberikan kemaafan dan perlindungan kepada bukan Islam yang setia bersama pemerintahan Islam.
Sehubungan itu, ketegangan politik yang berlaku antara Pas, UMNO, Bersatu serta kumpulan lain termasuk bukan Islam pada masa ini disifatkan tidak setara dengan kezaliman yang pernah dihadapi Rasulullah SAW.
Justeru, beliau menyeru semua pihak berfikir secara matang dan bijaksana demi menjamin kesejahteraan serta keamanan negara. – MalaysiaGazette
















