Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. - Foto: JAKIM.

 

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil berpandangan adalah tidak salah untuk sesebuah kerajaan meletakkan had tempoh jawatan bagi ketua kerajaan.

Bahkan, jelasnya, ia adalah lebih dekat kepada maslahah dan maqasid, selain selari dalam perspektif Fikh Daulah.

Tambah beliau, konsep meletakkan had jawatan itu juga tidak salah kerana ia adalah bidang siasah syariah yang mengharuskan setiap perkara yang membawa kepada maslahah.

“Dikatakan warid daripada Saidina Umar dalam konsep penetapan tempoh pemerintahan.

“Jadi kerajaan mempunyai hak untuk menetapkan tempoh penjawatan atau tidak menetapkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Pengumuman Anwar itu bagaimanapun mendapat reaksi yang pelbagai termasuk daripada beberapa pemimpin Pas yang beranggapan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan terletak pada had masa, tetapi prestasi kepimpinannya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast