PARIS – Kira-kira 140 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris pagi ini akibat salji tebal dan cuaca sejuk melampau, manakala 40 lagi penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Orly.
Gangguan penerbangan itu telah dijangkakan sejak malam tadi, dan Menteri Pengangkutan Philippe Tabarot “berharap keadaan akan kembali normal petang ini”.
Pihak berkuasa di Belanda pula menasihatkan orang ramai supaya merancang untuk kekal di rumah berikutan ribut salji baharu yang dijangka melanda pada waktu malam.
Lapangan Terbang Dublin memaklumkan beberapa penerbangan ke dan dari Paris serta Amsterdam telah dibatalkan hari ini.
Memandangkan salji dijangka turun sekali lagi, syarikat penerbangan Belanda KLM telah membatalkan 600 penerbangan bagi mengelakkan pembatalan saat akhir yang boleh menyebabkan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Schiphol, salah satu hab utama Eropah.
KLM sebelum ini telah membatalkan 400 penerbangan di Schiphol semalam dan menasihatkan penumpang yang penerbangannya dibatalkan supaya tidak datang ke lapangan terbang bagi mengelakkan kesesakan.
“Kami tidak pernah mengalami keadaan cuaca yang begitu ekstrem sejak bertahun-tahun lalu,” kata jurucakap KLM, Anoesjka Aspeslagh.
KLM berkata ia menawarkan penerbangan alternatif sekiranya boleh dan melakukan segala usaha untuk membantu penumpang, yang kini “dibanjiri dengan pertanyaan” orang ramai.
Selain itu, semua perkhidmatan kereta api domestik di Belanda digantung awal semalam selepas gangguan sistem teknologi maklumat menjejaskan rangkaian rel negara itu.
Di Perancis, keadaan jalan raya beransur pulih selepas salji menyebabkan kemalangan serius di seluruh negara, yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang, menurut stesen berita BFMTV.
Kesesakan lalu lintas di kawasan Paris mencecah rekod 1,000 kilometer pada petang Isnin.
Di Jerman, suhu turun jauh di bawah minus 10 darjah Celsius di bahagian selatan dan timur negara itu awal semalam, dengan sebahagian besar negara dilitupi salji.
Pejabat Meteorologi UK (Met Office) berkata, bahaya cuaca musim sejuk mungkin berterusan sepanjang minggu ini, susulan cuaca buruk yang dibawa oleh angin kencang di utara Perancis, yang dinamakan Taufan Goretti oleh perkhidmatan ramalan cuaca negara itu, Meteo France.
Salji dijangka turun di kawasan tanah tinggi di selatan Wales lewat esok, sebelum hujan bertukar menjadi salji di kawasan yang lebih luas di England dan Wales pada waktu malam, menurut Met Office.
Sesetengah kawasan mungkin menerima 5 hingga 10 sentimeter salji, manakala kawasan lain boleh mencatatkan sehingga 20 sentimeter.
Salji lebat dan hujan turut menyebabkan kekacauan di Balkan Barat, dengan jalan raya ditutup, bekalan elektrik terputus dan sungai-sungai melimpah.- Agensi
















