Gambar hiasan.

PONTIAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun atas lima kesalahan membabitkan pencerobohan bangunan dan pelupusan harta curi melibatkan beberapa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di daerah ini, tahun lalu.

Majistret Nurhafiza Haron menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhd Haziq Elvy Rimoy, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori ais selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhd Haziq didakwa menceroboh masuk Pusat Nadi di Balai Raya Bandar Permas, Kukuр di sini tanpa kebenaran pemilik premis dengan niat menyalahi undang-undang pada pukul 11.31 malam, 15 Mei 2025.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh Pejabat Pusat Nadi di Taman Nilam di sini tanpa kebenaran dengan niat menyalahi undang-undang pada pukul 2 pagi, 6 Disember 2025 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhd Haziq turut didakwa menceroboh Pusat Nadi di Batu 1, Sungai Pinggan, Benut dengan niat mencuri pukuk 12.42 tengah malam, pada 25 Disember 2025, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga lima tahun dan boleh dilanjutkan hingga 14 tahun jika melibatkan kecurian.

Tertuduh juga didakwa melupuskan serta membantu melupuskan dua unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV), masing-masing milik Peladang Pekan Nenas dan Pusat NADI Parit Sapran yang diketahuinya sebagai harta curi.

Perbuatan itu didakwa setelah tertuduh memandu arah lokasi pelupusan harta berkenaan pada 29 Disember 2025, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhd Haziq dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara 12 bulan bagi empat pertuduhan lain, namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 27 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Sahira Rosley manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zulyatie Awang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast