KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang melancarkan inisiatif Tahun Infak YAPEIM 2026 menyasarkan kutipan sebanyak RM70 juta.
Sebagai institusi infak pilihan utama, objektif pelancaran inisiatif ini untuk memperluas penyertaan penyumbang infak individu dan badan korporat.
Pada masa sama, mengukuhkan budaya infak dalam kalangan masyarakat dan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti pengurusan dana infak.
YAPEIM berkata, inisiatif pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 ini sebagai satu momentum strategik untuk melonjakkan kembali budaya infak sebagai norma kehidupan masyarakat, sekali gus memperkukuh ekosistem pendanaan sosial negara secara lebih mampan dan berimpak.
“Sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus dana infak secara berstruktur, YAPEIM perlu mengambil pendekatan yang lebih progresif dalam memperluas penyertaan penyumbang, meningkatkan kepercayaan pemegang taruh dan memastikan setiap sumbangan memberi impak yang jelas serta
terukur kepada golongan sasaran.
“Melalui pengukuhan tadbir urus, pemantapan platform digital dan penawaran program berkualiti tinggi, YAPEIM berada pada kedudukan strategik untuk memimpin agenda pendanaan sosial negara,” katanya.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan dalam Majlis Pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 sempena Majlis Perhimpunan Warga Kerja YAPEIM 2026 hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Ketua Pengarah, Zabidi bin Nasan dan barisan pengurusan utamanya.
YAPEIM berkata, dengan meningkatkan kutipan dana, ia memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas liputan program ke seluruh lapisan masyarakat.
Jelasnya, agenda ini diyakini mampu melahirkan ekosistem infak yang lebih mampan, inklusif dan berkesan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi ummah.
Sementara itu, Dr. Zulkifli dalam ucapannya mengingatkan warga kerja YAPEIM supaya menanamkan sikap perjuangan dan ibadah semasa bekerja, selain amanah yang dipertanggungjawab untuk membantu masyarakat di luar sana yang memerlukan.
Sejak tahun 1985 sehingga November 2025 YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta membabitkan lebih 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara.
Ini membabitkan pelbagai teras program iaitu Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik. – MalaysiaGazette
















