GEORGE TOWN – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menafikan terlibat dalam sebarang penipuan dalam talian yang menyalahgunakan identiti anggota kerjanya, khususnya yang menyasarkan peniaga dan vendor kecil-kecilan.
Unit Komunikasi Korporat PERDA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah memberikan kebenaran atau melantik mana-mana individu atau anggota kerja untuk menjalankan sebarang urusan kutipan wang, tawaran projek atau perkhidmatan secara peribadi yang menyalahi peraturan sedia ada.
“Sebagai sebuah agensi kerajaan, semua urusan rasmi berkaitan permohonan bantuan atau transaksi kewangan hanya dilaksanakan melalui saluran rasmi serta akaun atas nama Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang dan bukannya atas akaun peribadi individu,” katanya hari ini.
Dalam kenyataan sama, PERDA memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang cubaan mencemarkan integriti agensi dan anggota kerjanya.
Jelasnya, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama PERDA.
“Justeru kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan sebarang hantaran atau mesej yang meragukan, selain membuat semakan melalui saluran komunikasi rasmi PERDA sebelum melakukan sebarang urusan atau transaksi.
“PERDA tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana kerugian atau implikasi yang timbul akibat daripada transaksi yang dilakukan melalui saluran yang tidak sah,” katanya. – MalaysiaGazette















