SEOUL – Kesemua 179 orang yang terkorban dalam nahas penerbangan Korea Selatan pada Disember 2024 sebenarnya boleh terselamat sekiranya tiada struktur konkrit di hujung landasan, menurut satu simulasi yang didedahkan pada Khamis.
Penerbangan Jeju Air 2216 sedang bersiap untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dari Thailand apabila ia melanggar sekumpulan burung dan terpaksa melakukan pendaratan tanpa roda.
Rakaman orang awam menunjukkan juruterbang berjaya menurunkan pesawat sebelum ia merempuh penghadang konkrit, yang dikenali sebagai localiser, di hujung landasan lalu meletup dan terbakar.
Nahas itu mengorbankan semua penumpang dan anak kapal kecuali dua pramugari yang duduk di bahagian ekor pesawat.
Kehadiran struktur konkrit tersebut, yang menempatkan sistem antena radio dan digunakan untuk membantu navigasi pendaratan pesawat, mencetuskan kemarahan serta bantahan daripada keluarga mangsa.
Garis panduan keselamatan penerbangan antarabangsa menyatakan bahawa kemudahan navigasi sedemikian sepatutnya dibina menggunakan bahan mudah pecah.
Simulasi yang ditugaskan oleh kerajaan menyimpulkan semua penumpang akan terselamat dengan hanya kecederaan ringan, menurut Ahli Parlimen pembangkang Kim Eun-hye, yang mendedahkan dapatan kajian tersebut.
“Jika kemudahan panduan di Lapangan Terbang Muan disokong oleh struktur rapuh, pesawat itu berkemungkinan menembusi pagar perimeter, dan impak yang berlaku tidak akan cukup kuat untuk menyebabkan kecederaan serius,” menurut laporan simulasi itu.
“Ia mendapati impak yang dialami pesawat semasa ia meluncur di atas tanah tidak cukup kuat untuk menyebabkan kecederaan parah,” katanya lagi.
Kajian tersebut turut menyatakan pesawat itu “akan meluncur kira-kira 770 meter sebelum berhenti sepenuhnya” sekiranya landasan bebas daripada sebarang halangan.
Ketika AFP melawat lokasi kejadian pada Disember, localiser yang rosak akibat nahas itu masih berdiri di hujung landasan, manakala serpihan konkrit kelihatan bertaburan di sebuah kawasan lapang berhampiran.
Lee Hyo-eun, yang anak perempuannya berusia 24 tahun terkorban dalam nahas itu, memberitahu AFP, dapatan tersebut mengesahkan “syak wasangka yang telah lama dipercayai” oleh keluarga mangsa.
“Sejak sekian lama, kami percaya semua orang boleh terselamat, termasuk anak perempuan saya sekiranya tiada struktur konkrit di hujung landasan.
“Penemuan ini hanya menambah kesedihan kami, kerana mengetahui bahawa nyawa-nyawa tersebut sebenarnya boleh diselamatkan,” katanya. – Agensi
















