Pelajar UniSZA maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta Honda Jazz di Kuala Terengganu pada 5 Jan 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang terbabit dalam nahas ngeri di Bukit Kecil, Terengganu, Isnin lalu sehingga mengorbankan seorang mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) direman empat hari.

Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Terengganu bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian pada 1.55 tengahari, 5 Januari lalu, mangsa Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu Perodua Viva dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu ingin membelok ke kanan setelah lampu isyarat bertukar hijau sebelum dirempuh Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di UniSZA itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 32 tahun itu disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD).

Katanya, pemandu Honda Jazz berkenaan telah beberapa kali menjalani rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mulai Januari 2025. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast