KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah masjid di atas tapak seluas dua ekar untuk kegunaan penduduk di kawasan Batu Muda Kuala Lumpur.
Masijd tersebut telah diperkenan untuk dibina di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
Baginda bertitah demikian ketika menerima mengadap Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud di Istana Bukit Tunku hari ini.

“Sudah lama saya simpan hajat untuk memberi sebuah masjid untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan setelah berbincang dengan Datuk Bandar, hari ini pada Jumaat yang mulia hajat ini dapat dizahirkan.
“Seluruh kos berkaitan pembinaan masjid ini akan ditanggung oleh saya sendiri. Reka bentuknya juga saya tentukan untuk diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru.
“Semoga ianya bermanfaat bagi semua, dunia dan akhirat, InshaAllah,” titah Seri Paduka Baginda seperti dikongsikan menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur TPr Rosli Nordin. -MalaysiaGazette















