Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan reformasi menyeluruh sektor pendidikan bermula 2026 menerusi pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026–2035.

Ini termasuk pengenalan kurikulum baharu, penambahbaikan keselamatan murid, pengukuhan infrastruktur sekolah, sokongan langsung kepada guru dan pelajar, serta pendigitalan pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, 2026 menandakan fasa pelaksanaan lebih tegas dan berfokus, selepas beberapa tahun persediaan dasar dan struktur dilaksanakan kementerian.

“Ini bukan tahun biasa. Tahun ini tahun kita, ini ialah tahun gerak kerja yang lebih kencang dengan keputusan yang mesti sampai ke lapangan dan memberi kesan nyata kepada murid dan guru,” ucapnya selama lebih dua jam ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Auditorium Kompleks E, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 termasuk Pendidikan Khas menjadi langkah awal kepada Kurikulum Persekolahan Baharu 2027, dengan penekanan kepada pembentukan karakter, pengurusan diri, minat membaca, literasi digital, pembelajaran bersepadu dan pendidikan inklusif.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JANUARI 2026

Bagi menyokong pendidikan awal, KPM menyasarkan pembukaan 350 kelas prasekolah tambahan pada 2026 termasuk di lapan kolej matrikulasi, diikuti 150 kelas lagi pada 2027 selain memperuntukkan RM125 juta bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan prasekolah sedia ada.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata Audit Keselamatan Murid dan Asrama melibatkan 850 sekolah telah mendedahkan terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan diambil tindakan segera termasuk melibatkan sistem keselamatan fizikal.

“Keselamatan murid ialah keutamaan. audit ini menjadi asas kepada pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang menekankan pencegahan, intervensi awal dan akauntabiliti bersama,” ujarnya.

Susulan itu, KPM akan melengkapkan 333 sekolah asrama harian dengan sistem CCTV, memperkukuh jawatankuasa Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K), serta melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM dan Kementerian Kesihatan.

 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama penerima sumbangan anak-anak kakitangan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 Januari 2026.

Di majlis sama, Fadhlina turut mengumumkan pengoperasian 17 sekolah baharu mulai tahun ini, 50 sekolah daif akan dinaik taraf dan 1,801 sekolah akan dilengkapi kemudahan makmal komputer.

Bagi pendidikan inklusif, beliau berkata 200 kelas Pendidikan Khas baharu akan dibuka secara berperingkat, peluasan Sekolah Model Khas Komprehensif K11 di pedalaman akan dilaksanakan dan Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas di Bandar Enstek akan mula beroperasi tahun ini.

Dalam usaha meringankan beban guru dan pentadbir, KPM ujarnya akan menempatkan 1,470 pembantu guru MyPG dan melantik 600 pembantu warden asrama MySTEP bermula 2026.

KPM juga tambahnya, bakal melaksanakan penggredan baharu pentadbir sekolah berkuat kuasa 11 Januari ini.

“Kita mahu pentadbir dan guru mempunyai sokongan sebenar untuk melaksanakan tugas hakiki mereka,” katanya diikuti tepukan gemuruh warga KPM.

Sebahagian penerima sumbangan anak-anak kakitangan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 Januari 2026.

Bagi pendidikan prauniversiti, Fadhlina mengumumkan pembekalan papan pintar ke semua Kolej Tingkatan Enam secara berfasa pada 2026 dan 2027 dengan peruntukan RM450,000, selain sumbangan RM50,000 secara sekali beri kepada Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam bagi pembangunan kepimpinan pelajar.

Dalam aspek teknologi, KPM katanya akan melaksanakan Program Bilik Darjah Dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) di 800 sekolah serta menggunakan platform pembelajaran DELIMa 3.0 bermula Januari 2026.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi Geran Peralatan Sekolah dan RM1 juta bagi Geran Alat Bantu Mengajar melalui Yayasan Guru Tun Hussein Onn, selain RM500,000 bagi bantuan pendidikan anak-anak asnaf.

Dalam pada itu, ketika mengulas prestasi 2025, Fadhlina berkata KPM mencatat beberapa pencapaian utama termasuk kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 yang menjamin hak pendidikan murid dari sekolah rendah hingga menengah.

Beliau berkata pengisian guru mencapai 98 peratus tertinggi dalam hampir sedekad dengan pelantikan 52,948 guru, pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPL KPM), serta siapnya 44 sekolah baharu dan pemulihan 44 sekolah daif.

Di majlis sama, Fadhlina memuji kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) memenangi World’s Best School Prizes serta pencapaian guru Malaysia dalam Global Teacher Prize, selain pemilihan Malaysia sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025–2029.

Menurut beliau, kejayaan-kejayaan di peringkat antarabangsa itu mencerminkan keyakinan dunia terhadap sistem pendidikan negara.

“Semua kejayaan 2025 ini menjadi asas kepada gerak kerja lebih besar pada 2026, dengan keutamaan memastikan setiap murid mendapat pengalaman pembelajaran yang selamat, bermakna dan berkualiti,” ujarnya. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast