Ahmad menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Parit Jawa, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal diluluskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memainkan peranan penting dalam menentu strategi dan hala tuju parti terutama berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul berkenaan dirangka dengan mengambil kira pandangan yang dibawa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebelum dimuktamadkan di peringkat MKT.

“PAU yang menghimpunkan 191 UMNO Bahagian bermula Rabu hingga Sabtu ini. Pada malam Khamis diadakan Mesyuarat MKT khas bagi membincangkan dan meluluskan usul Perhimpunan Agung UMNO.

“Usul tersebut digubal untuk dibentangkan pada Jumaat dan Sabtu dengan mengambil kira pandangan serta nada daripada tiga sayap parti.

“Segala intipati itu akan dimasukkan dalam usul yang dijangka diluluskan oleh MKT pada malam berkenaan,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Parit Jawa di sini hari ini.

PAU 2025 akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu dengan seramai 6,412 perwakilan sudah mengesahkan kehadiran.

Daripada jumlah itu, seramai 2,928 perwakilan akan menghadiri PAU; Perhimpunan Agung Wanita (1,165 orang); Perhimpunan Agung Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Puteri (1,146 orang).

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menegaskan usul PAU kali ini cukup penting kerana menjadi asas utama dalam merangka strategi menghadapi PRU16.

Pada kebiasaan ujar Ahmad, usul itu mengandungi dua hingga tiga muka surat dengan beberapa perkara penting yang menjadi panduan hala tuju parti.

“Usul Perhimpunan Agung UMNO amat signifikan kerana ia akan menentukan perancangan dan strategi parti 2006, 20 07 serta menghadapi PRU16, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor,” katanya.

Kelmarin, UMNO dilaporkan menerima 662 usul daripada 175 bahagian sempena PAU 2025 dengan tiada usul mencadangkan supaya UMNO keluar daripada kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua usul itu diterima hasil persidangan UMNO Bahagian tahun lepas melibatkan 175 daripada keseluruhan 191 bahagian dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 133.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast