PONTIAN – Faktor kawasan luas akan menjadi antara cabaran jentera UMNO mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Januari ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Parlimen Kinabatangan yang mempunyai tiga DUN mempunyai keluasan yang hampir sama dengan negeri Johor.
“Keadaan ini menuntut kerja keras daripada jentera untuk bertemu kira-kira 48,722 pemilih terdiri daripada 48,562 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
“Ini menuntut kerja keras daripada jentera untuk bertemu kira-kira 48,722 pemilih terdiri daripada 48,562 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Parit Jawa di sini hari ini.
Katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pada PRK tersebut tiada keluarga angkat dihantar daripada UMNO bahagian di Semenanjung.
Sebaliknya ujarnya Timbalan Menteri Kerja Raya itu, sebanyak 24 bahagian parti tersebut di Sabah akan menjaga 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Setiap bahagian di Sabah akan menjaga satu PDM. Terdapat tiga bahagian yang menjaga dua PDM. Antaranya Bahagian Libaran yang terletak berhampiran Parlimen Kinabatangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad menggesa agar pemimpin parti daripada Semenanjung turut hadir membantu kempen PRK Kinabatangan dan DUN Lamag terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO.
“Kita faham bermula Rabu hingga Sabtu ini merupakan hari yang cukup sibuk kerana perwakilan daripada seluruh negara akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
“Kehadiran pemimpin parti dari Semenanjung ini cukup penting bagi membantu jentera berkempen seterusnya mempertahankan DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang merupakan kubu kuat BN,” katanya lagi.
PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bakal menyaksikan pertandingan sengit apabila Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru, manakala DUN Lamag hanya membabitkan pertandingan satu lawan satu.
Di Parlimen Kinabatangan, BN mempertaruhkan Mohd Kurniawan Naim Moktar yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan menentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau daripada Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman dan calon Bebas, Goldam Hamid.
Bagi kerusi DUN Lamag pula, calon BN, Mohd Ismail Ayob berdepan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
PRK diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Bung Moktar Radin akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru pada 5 Disember lalu.- MalaysiaGazette
















