KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menyelar pihak tertentu yang menggesa supaya parti itu menghormati ketetapan komponen Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan pengerusi baharunya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Dungun berkata, perkara itu tidak berlaku sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan sebagai calon Perdana Menteri.
Ketika itu, ujarnya, tiada mesyuarat dilakukan di peringkat PN; tiada rundingan dengan Pas serta tiada istilah `menghormati proses dalaman’.
Tambah beliau, semuanya dibuat secara sehala dengan Pas hanya diminta supaya akur.
“Hari ini, bila kedudukan goyah, bila sokongan tak lagi solid, tiba-tiba keluar ayat manis, perlu beri ruang kepada parti komponen. Proses dalaman setiap parti perlu dihormati.
“Oh, rupanya hormat proses itu musim tertentu sahaja. Kalau keputusan memihak, Pas tak perlu ditanya. Kalau keputusan tak memihak, barulah Pas dicari,” katanya menerusi laman sosial Faacebok beliau.
Sebelum ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham meminta supaya semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.
Menurut Muhammad Hilman, mesyuarat MT PN bakal diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan bekas pengerusi gabungan iaitu Muhyiddin, namun proses dalaman setiap parti perlu dihormati.
Sementara itu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, isu tersebut bukan hanya melibat soal maruah Pas semata-mata, sebaliknya berkenaan keikhlasan dalam pakatan.
Tegasnya, PN bukan hanya milik satu parti tertentu atau milik satu keluarga politik semata-mata, serta bukan medan membuat keputusan mengikut selera apabila senang, kemudian meminta solidariti ketika susah.
“Kalau benar mahu hormat rakan, buatlah dari awal. Bukan bila terdesak. Rakyat sedang memerhati. Dan hipokrasi politik biasanya tak bertahan lama,” katanya. – MalaysiaGazette
















