Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Terengganu telah mengarahkan seorang pemandu yang berdepan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tertuduh, Izuddin Zakaria, 32, sedang berada di bawah rawatan dan mengambil ubat psikotropik.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli telah memohon supaya tertuduh dirujuk ke hospital berkenaan mengikut Seksyen 342(3) Kanun Tatacara Jenayah bagi menilai tahap kewarasan mentalnya.

Manakala tertuduh, 32, yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ummi Sharmimi Harun tidak direkodkan sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.

Majistret juga menolak jaminan terhadap tertuduh dan mengarahkan lesen memandunya digantung sehingga kes dilupuskan manakala sebutan semula pada 12 Februari ini.

Izuddin didakwa memandu secara berbahaya di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu, sehingga terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat pukul 1.55 petang, 5 Januari lalu yang mengorbankan Syakirah Hanan Mazli, 25.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda sehingga RM50,000 serta pembatalan kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast