NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa menandatangani Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) di sekolah selewat-lewatnya minggu depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, langkah berkenaan penting untuk memastikan murid terus dilindungi daripada buli, gangguan seksual, penderaan dan masalah kesihatan mental.
“Minggu ini kita beri ruang terlebih dahulu kerana ini adalah minggu awal pembukaan sekolah dan saya jangkakan menjelang minggu hadapan, kita boleh pastikan semua pihak yang terlibat menandatangani polisi ini.
“CPP ini bukan sahaja bertujuan melindungi murid daripada isu buli, malah turut merangkumi penderaan seksual, sebarang bentuk penderaan serta isu yang berkait rapat dengan kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah di sini hari ini.
Media semalam melaporkan Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan pelaksanaan polisi berkenaan merupakan antara pembaharuan penting yang diperkenalkan KPM selain penyediaan manual Sekolah Sejahtera dan Sekolah Selamat yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan.
Beliau menegaskan, polisi tersebut akan diperkenalkan secara rasmi seiring pembukaan sesi persekolahan tahun ini. – MalaysiaGazette
















