KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 wajar dijadikan ruang terbaik untuk memperkukuh muafakat dalam kalangan ahli dan pimpinan di semua peringkat.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perbezaan pandangan perlu diraikan secara matang, manakala persamaan matlamat mesti dijadikan asas untuk bergerak seiring demi kekuatan parti dan kestabilan negara.
Beliau yang dikenali dengan nama Ku Nan berkata, walaupun PAU diadakan setiap tahun, tekad dan semangat yang dibawa harus sentiasa baharu.
“Cabaran politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat hari ini menuntut UMNO untuk terus melakukan muhasabah, memperbaharui pendekatan serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap parti keramat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, walaupun PAU merupakan acara tahunan yang sentiasa dinantikan namun maknanya jauh melangkaui rutin biasa.
Jelasnya, PAU adalah medan penting untuk menyatukan suara, menyusun kekuatan dan memperteguh perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air.
“Semoga perhimpunan kali ini melahirkan iltizam yang jelas, keputusan yang berani serta hala tuju yang diyakini rakyat.
“Dengan semangat kebersamaan dan kesatuan yang kukuh, UMNO mampu terus memainkan peranan penting sebagai parti yang membela nasib rakyat dan menjamin masa depan negara,” katanya.
PAU 2025 akan bermula secara rasmi esok dengan perasmian perhimpunan tiga sayap iaitu Wanita; Pemuda dan Puteri yang dijangka disempurnakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. – MalaysiaGazette
















