Asiah Md Ariff

JOHOR BAHRU – Amanat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2025 hari ini perlu diterjemahkan dalam gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Md Ariff berkata, pihaknya akan membentuk gerak kerja yang lebih tersusun, mendengar dengan empati masalah rakyat serta bertindak dengan data sedia ada selain ikhlas melaksana tanggungjawab itu.

“Kami sedar bahawa keyakinan rakyat hanya dapat dikembalikan melalui kerja yang konsisten, pendekatan yang segar dan kesediaan untuk berubah demi masa depan negara.

“Wanita UMNO Johor percaya, dengan berpandukan amanat ini, UMNO mampu kembali bangkit sebagai parti yang melindungi, relevan dan diyakini, bukan kerana sejarah semata-mata tetapi kerana keupayaan sebenar untuk mengurus negara dan membela rakyat.

“Wanita UMNO Johor akan terus berdiri teguh, berdisiplin dan berprinsip, demi memastikan UMNO kembali kuat dan bersedia menghadapi cabaran politik mendatang dengan penuh kebijaksanaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selaras dengan mandat diberikan kepada wanita UMNO sebagai agen ekonomi rumah tangga, pihaknya melihat amanah itu sebagai tanggungjawab besar dalam mendekati denyut nadi rakyat.

Khususnya kata beliau, golongan wanita dan keluarga yang terkesan dengan tekanan ekonomi.

“Wanita UMNO Johor komited memperkukuh peranan di peringkat akar umbi sebagai penyelesai masalah rakyat, penghubung bantuan serta suara yang berani dan berfakta dalam memperjuangkan kebajikan isi rumah,” katanya.

Selain itu katanya, Wanita UMNO Johor menyambut baik serta menzahirkan sokongan penuh terhadap ucapan perasmian serentak Timbalan Presiden UMNO itu yang disifatkan bukan sekadar bersifat peringatan politik.

Malah katanya, merupakan amanat strategik yang jujur, berani dan berpijak di bumi nyata dalam menilai kedudukan UMNO pasca beberapa siri pilihan raya serta realiti baharu landskap politik negara dan sentimen rakyat.

Wanita UMNO Johor juga katanya, menginsafi teguran dan peringatan Mohamad bahawa dunia sedang melalui gelombang penolakan terhadap parti pemerintah, didorong oleh tekanan kos sara hidup, keresahan ekonomi dan perubahan corak pemikiran pengundi khususnya generasi muda.

Hakikat ini menuntut UMNO, termasuk Wanita UMNO untuk melakukan pembaharuan yang bersungguh-sungguh, berfikir secara strategik dan bertindak dengan penuh tanggungjawab.

Pada masa sama, beliau berkata, Wanita UMNO Johor mengambil maklum dan insaf penekanan Mohamad agar UMNO tidak boleh terperangkap dengan emosi, nostalgia dan retorik semata-mata.

Sebaliknya ujar Asiah, UMNO mesti kembali diyakini sebagai parti yang matang, rasional dan mampu menjadi pengimbang yang berkesan demi kestabilan negara tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan agama, bangsa dan institusi raja-raja Melayu.

“Wanita UMNO Johor turut menyokong sepenuhnya penegasan Timbalan Presiden mengenai garis merah UMNO yang tidak boleh dikompromi iaitu mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Prinsip berkenaan katanya, merupakan asas pembinaan negara dan wajib dipertahankan dengan hikmah, ketegasan serta kebijaksanaan politik.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast