Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menunjukkan barangan rampasan pada sidang media khas mengenai rampasan melibatkan bekas panglima angkatan tentera di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 JANUARI 2026

PUTRAJAYA-  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan siasatan terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  Isnin depan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan mencadangkan kepada pasukan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh tiga atau empat individu bagi kes rasuah melibatkan tender perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan salah guna dana.

“Kedua-duanya (kertas siasatan) hampir siap dan juga akan dikemukakan dalam masa terdekat kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan sebarang keputusan,” kata Azam dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Terdahulu, Azam berkata SPRM berjaya menyita dan merampas keseluruhan wang tunai dan aset bernilai RM16.1 juta membabitkan Op Parasit dan Op Star.

Bagi Ops Parasit, keseluruhan wang tunai dan aset dirampas adalah bernilai RM11.4 juta manakala, Op Star bernilai RM4.7 juta.

Bagi Ops Parasit, katanya, wang tunai berjumlah RM4.4 juta telah dirampas selain mata wang asing bernilai RM1.4 juta dan sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000.

Turut dirampas 26 unit jam mewah jenama Rolex bernilai RM2.3 juta, barang kemas RM294,039.90, dua cincin berlian RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas (8.5g) RM5,780.

“Kesemua aset dan wang tunai ini dirampas daripada dua buah kediaman masing-masing di Kuala Lumpur dan Besut, Terengganu.

Media sebelum ini melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) sudah dibebaskan daripada reman pada jam 6.30 petang Isnin.

Terdahulu dua isteri bekas PTD turut dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat.

SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Pada 24 Disember tahun lalu, SPRM sudah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.

Dalam sidang media sama, Azam memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan juga Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali.

Jelasnya, pertemuan tersebut akan dibuat Rabu depan untuk membincangkan mengenai siasatan SPRM terhadap ATM.

“Pertamanya untuk bincangkan isu-isu yang sedia ada yang sedang dalam siasatan, kedua ialah bincangkan langkah kehadapan tentang isu pembersihan di dalam ATM yang mana SPRM sedia membantu berdasarkan pertama hasil daripada siasatan kami.

“Kedua berdasarkan daripada maklumat yang telah kita kumpul dan juga siasatan terlebih dahulu sebelum ini dalam data kami untuk diperbincangkan untuk betul-betul kali ini untuk diperbetulkan mana-mana yang lemah di dalam MINDEF terutama isu-isu yang melibatkan peolehan dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast