Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen

KUALA LUMPUR – DAP mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh yang terus menyerang parti itu secara berterusan ketika ini.

Ini termasuklah pengorbanan politik besar DAP melepaskan kerusi DUN Dusun Tua yang dimenangi dengan majoriti besar kepada UMNO demi kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023, DAP tidak mempertahankan kerusi Dusun Tua yang dimenanginya dengan majoriti lebih 10,000 undi pada PRU 2018, sebaliknya memberi laluan kepada UMNO–Barisan Nasional (BN).

“UMNO akhirnya menang kerusi itu dengan majoriti tipis sekitar 3,000 undi. Ini bukan keputusan kecil, tetapi pengorbanan jelas demi kestabilan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan,” tulisnya di Facebook beliau.

Semalam, Dr. Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025.

Beliau bagaimanapun tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda seperti yang diramal sebelum ini, sebaliknya menegaskan mahu fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.

Namun kata Shakir, pengorbanan DAP tidak terhenti di Selangor, sebaliknya diterjemahkan melalui sokongan terbuka dan kempen lapangan bagi memenangkan calon UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil yang sebelum itu dikuasai atau dicabar Perikatan Nasional (PN).

Shakir berkata, DAP berkempen untuk UMNO–BN di DUN Pelangai, Pahang pada Oktober 2023, diikuti DUN Nenggiri, Kelantan pada Ogos 2024 yang menyaksikan UMNO merampas kerusi berkenaan daripada PN buat kali pertama sejak PRN 2023.

“Selepas itu, kami turut berkempen di DUN Mahkota, Johor pada September 2024 dan DUN Ayer Kuning, Perak pada April 2025. Semua kerusi ini dimenangi UMNO,” ujarnya.

Beliau menegaskan, dalam setiap kempen tersebut, jentera DAP secara terbuka merayu pengundi supaya menyokong UMNO, termasuk di kawasan yang mempunyai penyokong Pakatan Harapan yang kuat.

“Walaupun ada yang meragui kebolehpindahan undi, anggaran kami menunjukkan lebih 80 peratus pengundi PH mengalihkan sokongan kepada calon UMNO,” tegasnya.

Sehubungan itu, Shakir mempersoalkan asas serangan politik Pemuda UMNO terhadap DAP, sedangkan rekod sokongan parti itu terhadap UMNO adalah jelas dan konsisten.

“Persoalannya sekarang, apa lagi yang mahu dilawan? DAP telah berkorban kerusi, turun berkempen dan membantu menewaskan PN demi memastikan kerajaan perpaduan terus bertahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan serangan berterusan terhadap DAP hanya akan menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan sesetengah pihak dalam mempertahankan kerjasama politik sedia ada.

“Jika masih mahu menyerang DAP dalam keadaan ini, maka rakyat boleh menilai sendiri siapa sebenarnya yang tidak menghormati semangat kerajaan perpaduan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. “Jika masih mahu menyerang DAP dalam keadaan ini, maka rakyat boleh menilai sendiri siapa sebenarnya yang tidak menghormati semangat kerajaan perpaduan” baruah DAP mau basuh otak anda. Siapa yang tidak hormat asas perpaduan sebenarnya? Pertikai itu, pertikai ini? Pertikai Shariah, pertikai MARA, the list go on. Kaki putar belit ini orang.

  2. Bahasa Melayu pun mau pertikai. DAP sudah naik taring. Kurang ajar. You want to run things according to your party’s principle, do so justly without upsetting on this country’s Shariah model or even the Malay community. Practice what you preach. Don’t be fair bunch of bigots. Kept on rocking the boat, then sue here and there, accuse people of being irresponsible. Manipulative a’holes in DAP.

Comments are closed.