MUAR – Seorang warga emas berputih mata selepas kerugian RM120,000 akibat percayakan seorang ‘anggota polis’ yang menuduhnya terlibat aktiviti penggubahan wang haram dan rasuah bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun menerima panggilan daripada seorang individu yang tidak dikenali pada 31 Disember lalu.
“Mangsa mendakwa telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa terlibat kes penggubahan wang haram serta rasuah.
“Mangsa turut diugut dengan tindakan waran tangkap serta pendakwaan di mahkamah sekiranya gagal memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan itu mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu serta menyerahkan semua maklumat kad ATM kepada suspek.
Mangsa diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut dan membuat beberapa transaksi pemindahan ke akaun lain pada 8 Januari lalu yang didakwa bagi tujuan siasatan.
“Setelah memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga, mangsa menyedari telah menjadi mangsa penipuan sebelum membuat laporan polis semalam,” ujarnya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Raiz Mukhliz menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali menyerahkan maklumat perbankan atau nombor akaun termasuk memindahkan wang berdasarkan arahan melalui panggilan telefon yang meragukan.
Orang ramai juga digalakkan membuat semakan melalui portal rasmi agensi berkaitan atau menghubungi CCID Scam response centre serta sentiasa mengikuti hebahan dan nasihat dalam media sosial rasmi polis bagi mendapat maklumat terkini modus operandi sindiket penipuan.- MalaysiaGazette
















