Keadaan blok kediaman Wang Fuk Court di daerah Tai Po, Hong Kong yang terbakar dan mengorbankan 168 nyawa, foto AFP

HONG KONG – Polis mengesahkan seramai 168 orang maut dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kompleks pangsapuri di Hong Kong pada November lalu.

Jumlah yang disahkan itu adalah tujuh orang lebih ramai berbanding angka yang diumumkan sebelum ini.

Umur mangsa yang terlibat antara enam bulan hingga 98 tahun.

Polis Hong Kong berkata, daripada jumlah itu, 58 mangsa lelaki manakala 110 mangsa wanita.

Kebanyakan mereka merupakan warga emas yang telah menetap di kompleks pangsapuri berkenaan selama beberapa dekad.

Kebakaran di Wang Fuk Court itu merupakan yang paling meragut nyawa di bandar tersebut dalam tempoh beberapa dekad.

Lebih 30 individu telah ditahan berkaitan kebakaran itu atas syak wasangka menyebabkan kematian tanpa niat, penipuan atau rasuah, kata Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, pada Rabu.

Mengumumkan semua kerja pengecaman mangsa telah selesai, Setiausaha Keselamatan Chris Tang berkata, jumlah kematian muktamad adalah 168 orang.

Antara yang terkorban termasuk 10 pembantu rumah — sembilan warga Indonesia dan seorang warga Filipina dan ima pekerja pembinaan serta dua penghias dalaman.

Dibina pada era 1980-an, Wang Fuk Court yang terletak di daerah Tai Po, timur laut Hong Kong, menempatkan kira-kira 4,600 penduduk, menurut bancian 2021.

Hampir 40 peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas.

Ribuan anggota bomba dikerahkan bagi mengawal kebakaran tersebut termasuk Ho Wai-ho, 37 tahun, meninggal dunia semasa operasi memadam kebakaran.

Empat mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital, manakala 164 mayat ditemui di lokasi kejadian.

Siasatan berhubung punca kebakaran masih diteruskan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast