Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan keputusan kes pengasuh yang mengaku bersalah mendera dua bayi di sebuah taska, sementara menunggu laporan perubatan lengkap daripada hospital kerajaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suhaila Haron menetapkan 17 April depan sebagai tarikh jatuh hukum selepas dimaklumkan pihak pendakwaan masih belum menerima laporan perubatan rasmi, meskipun laporan daripada hospital swasta telah diperoleh.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin berkata, laporan berkenaan penting sebelum hukuman dapat diputuskan oleh mahkamah.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi penyampaian keputusan sementara menunggu laporan perubatan daripada hospital kerajaan,” katanya pada prosiding hari ini.

Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam bela Mohd Ridzuan Sihat.

Terdahulu, tertuduh, Perada Randai mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menganiaya bayi lelaki enam bulan dan bayi perempuan sembilan bulan di sebuah taska di Kampung Baru Salak Selatan, Disember lalu.

Bagi pertuduhan pertama, wanita berasal dari Sarawak itu didakwa menutup muka bayi lelaki berusia enam bulan menggunakan bantal, manakala pertuduhan kedua membabitkan perbuatan menampar pipi serta mengetuk kepala bayi perempuan sembilan bulan.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 15 Disember lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam Jason Wee yang mewakili ibu kepada bayi lelaki berkenaan berkata pihaknya akan mengemukakan kenyataan impak mangsa pada tarikh jatuh hukum.

Menurutnya, kenyataan itu akan dibacakan oleh ibu mangsa bagi menggambarkan kesan penderaan terhadap bayi yang masih terlalu kecil dan tidak mampu mempertahankan diri.

“Bayi ini bukan sahaja tidak boleh bersuara, malah terpaksa menanggung trauma akibat perbuatan kejam tersebut. Kenyataan impak mangsa ini penting untuk memastikan suara mangsa didengari mahkamah,” tegasnya.

Kes itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial, memaparkan seorang pengasuh mencampak, menggolek dan menampar bayi di sebuah taska, sehingga mencetuskan kebimbangan awam terhadap keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast