KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menggesa satu undang-undang berkaitan dana politik yang tegas, jelas dan meyeluruh digubal serta dilaksanakan segera.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, setiap parti politik memerlukan dana kerana demokrasi ada kosnya dan parti politik tidak boleh bergerak dengan retorik semata-mata.
Menurutnya, parti politik memerlukan dana untuk menggerakkan jentera parti serta bagi menyantuni rakyat secara berterusan sekali gus memenangi pilihan raya umum secara bermaruah.
Dalam masa sama, dana politik itu perlu dipastikan diaudit dengan telus berserta hukuman yang tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakannya.
“Inilah jalan tengah yang berprinsip dan berintegriti bukan menolak dana tetapi mengawal dana kerana tanpa dana yang sah dan terkawal, politik hanya menjadi milik orang kaya tetapi dengan dana yang telus dan berintegriti, politik akan kembali kepada mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Rosni, akta atau undang-undang berkaitan dana politik itu bukan baharu tetapi sudah diamalkan di kebanyakan negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan negara jiran Indonesia.
Jelasnya, negara-negara maju tidak mengharamkan dana politik, tetapi mengawal dan mengehadkan serta mewajibkan ketelusan dengan tujuan mencegah rasuah, mengelak pengaruh luar, mewujudkan persaingan adil serta melindungi demokrasi.
“Cadangan ini bukan untuk mengubah jati diri UMNO tetapi untuk menguatkan UMNO agar kekal relevan, adil dan diyakini oleh generasi masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata, Wanita UMNO tidak menuntut keistimewaan di dalam parti tetapi mahukan keadilan dan ruang adil untuk menyumbang secara berkesan.
“Apabila UMNO memimpin dalam keadaan gender dan tadbir urus berintergriti, UMNO tidak akan menjadi lemah sebaliknya menjadi lebih kuat,” katanya. – MalaysiaGazette
















