Muhammad Kamarul tidak dapat menahan sebak ketika mencerita kronologi kehilangan isterinya, Nadia Kesuma (gambar kecil) ketika ditemui di kediamannya di Bertam, Pulau Pinang.

 

KEPALA BATAS – Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah merayu Kerajaan Malaysia menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian isterinya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim yang dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, sejak 14 Januari lalu.

Kamarul mendakwa, proses siasatan di negara berkenaan memerlukan banyak prosedur dan laporan rasmi sekali gus menjadi kekangan dalam usaha pencarian tersebut.

Katanya, ahli keluarga Nadia juga telah membuat laporan kepada pihak Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Jeddah yang turut membantu dari segi koordinasi dan dokumentasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Saya bukan sesiapa, tetapi jika menteri atau Kerajaan Malaysia sendiri berhubung dengan rakan sejawat mereka di sana (Arab Saudi) keputusan boleh dibuat dengan lebih cepat.

“Ikutkan, kes kehilangan Nadia kini memasuki hari ketiga dan masa amat penting ketika ini kerana semakin lewat tindakan diambil, semakin banyak kemungkinan boleh berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Bertam di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Muhammad Kamarul menjelaskan isyarat telefon bimbit Nadiah atau lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma  masih dikesan di lapangan terbang berkenaan, namun baterinya semakin lemah apabila kes kehilangan itu kini memasuki hari ketiga.

Muhammad Kamarul bersama tiga orang anaknya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Bertam, Pulau Pinang.

Kata Muhammad Kamarul, isterinya bukan individu yang cuai atau tidak memaklumkan pergerakan kepada keluarga ketika bermusafir.

“Saya dimaklumkan WhatsApp masih double tick tetapi tidak dibaca. Ini sangat merisaukan kerana ia bukan kebiasaan isteri saya yang sentiasa berhubung dengan keluarga, terutama anak-anak.

“Nadia juga bukan asing dengan urusan perjalanan antarabangsa memandangkan pernah menunaikan umrah tahun lalu dan biasa melancong ke luar negara sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, beliau bersedia untuk berlepas ke Jeddah pada bila-bila masa sekiranya diminta, namun akur dengan nasihat pihak Konsulat Malaysia agar tidak ke sana buat masa ini bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

Muhammad Kamarul dan Nadia mempunyai tiga orang anak berusia 15, 13 dan 11 tahun, manakala Nadia turut memiliki seorang anak perempuan berusia 25 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Media sebelum ini melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Perkara ini dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast