KUALA LUMPUR – Ahli UMNO diminta tidak menghiraukan pelbagai gelaran atau cercaan yang dilamperkan pihak lawan sebaliknya terus fokus kepada gerak kerja untuk memperkukuhkan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan kritikan daripada golongan tersebut tidak membawa impak kepada sokongan kerana mereka tetap tidak akan mengundi UMNO.
“Teruskan enggament anda untuk mempertahankan UMNO. Jangan takut orang nak panggil kita UMDAP, peduli sama dia orang!
“Apa anda ingat kalau mereka tidak bercakap kita UMDAP, mereka akan beri kita undi ke kalau mereka sudah menyampah dengan kita, pedulikan!” katanya.
Beliau berkata demikian ketka berucap menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari kini.

Tambah Johari, UMNO perlu membuktikan parti itu masih relevan dan paling penting mengembalikan kuasa seperti yang diperjuangan pemimpin terdahulu.
“Kita mengalu-alukan siapa juga yang mahu kembali ke rumah besar kita, sama-sama mencari strategi untuk kita bangunkan UMNO.
“Kalau pun bukan sekarang, tetapi ia adalah untuk generasi akan datang. Paling penting, kita mesti ada keupayaan melahirkan kepimpinan pelapis UMNO yang kompeten, berilmu, relevan, memahami generasi muda dan menguasai teknologi terkini,” katanya.
Jelasnya lagi, pemimpin pelapis parti itu harus mempunyai pengetahuan dalam geopolitik, cekap menguruskan parti serta boleh menguasai ilmu ekonomi yang akan menjamin masa depan UMNO.
“Perjuangan UMNO tidak pernah bersifat bermusim ataupun reaktif, ia memerlukan kerja berstruktur organisasi yang kemas dan strategi jangka panjang.
“Jika kita hanya bergantung kepada wang dan kuasa percayalah kita akan terus tewas dengan perjuangan UMNO.
“Kalau kita berterusan bercakap dari teori ini percayalah cakap saya yang 198, 140, 133, 79, 30 (kerusi) tuan-tuan tepuk dada tanya selera,” ujarnya yang mengingatkan mengenai jumlah kerusi dimenangi parti itu semakin merosot sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 lalu hingga PRU-15,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johari menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima semula individu-individu atau kumpulan secara en blok ke dalam UMNO dan berharap akan menjadi kenyataan sebelum PRU-16 akan datang.
“Tanggungjawab kita sangat besar untuk memastikan UMNO terus relevan dipercayai dan mampu memainkan peranan dalam menentukan masa depan negara, maka penyatuan orang melayu ini sangat-sangat penting.
“Kita pergi mana sahaja di dunia atau mana-mana negara yang mempunyai salah sesuatu kaum yang majoriti, negara itu tidak akan stabil kalau komuniti yang majoriti itu sudah berpecah hingga tidak menjadi majoriti.
“Agak tidak mustahil mana-mana negara apabila dia hilang kepercayaan dikalangan orang-orang majoriti itu untuk mendapat kembali kuasa yang hilang,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















