SINGAPURA – Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik dua produk susu formula bayi selepas mengean pengesanan toksin cereulide.
Toksin berkenaan boleh menyebabkan loya dan muntah, dikesan dalam satu kelompok susu formula bayi Nestlé NAN dan produk susu formula bayi Dumex.
Tindakan ini menyusuli penarikan balik terdahulu terhadap beberapa produk susu formula Nestlé NAN pada 8 Januari lalu.
Kedua-dua produk ini “mungkin menggunakan bahan mentah yang sama daripada pembekal yang sama seperti kelompok susu formula bayi yang terlibat sebelum ini,” kata SFA dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam kenyataan media bersama.
Penarikan balik ini adalah langkah berjaga-jaga sementara siasatan SFA masih diteruskan.
Terdapat satu kes penyakit yang berkemungkinan berkaitan dengan pendedahan kepada cereulide, kata agensi-agensi tersebut.
Kes itu mengalami gejala ringan dan telah pulih.
Buat masa ini, ujian makmal klinikal belum mengesahkan penyakit tersebut disebabkan oleh keracunan cereulide, menurut agensi berkenaan.
CDA bekerjasama rapat dengan SFA dan sedang “menjalankan pemantauan” bersama pengamal perubatan bagi mengesan kemungkinan kes keracunan cereulide dalam kalangan kanak-kanak, tambah mereka.
Secara keseluruhan, kelompok produk bayi import yang terjejas merangkumi kurang daripada 5 peratus daripada bekalan import susu formula di Singapura, kata SFA dan CDA.
“SFA akan terus berurusan dengan pengimport dan pengeluar untuk memantau keadaan ini dengan teliti”.
Selain itu, SFA memaklumkan mereka mendapati sebuah pengeluar berpengkalan di Singapura, SMC Nutrition, telah menggunakan bahan mentah terjejas yang sama dalam beberapa produk susu formula bayi mereka yang bertujuan untuk eksport.
Agensi-agensi berkenaan telah mengarahkan syarikat itu menghentikan eksport produk terjejas dan memaklumkan pihak berkuasa berkaitan di negara pengimport.
Cereulide ialah toksin yang boleh menyebabkan gejala seperti loya, muntah, kekejangan perut dan cirit-birit.
Gejala biasanya muncul antara 30 minit hingga enam jam selepas pengambilan makanan terjejas, dan kebiasaannya pulih dalam tempoh 24 jam.
Kumpulan berisiko, seperti bayi, mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi.
“Pengguna yang telah membeli produk terjejas dinasihatkan supaya tidak memberikannya kepada anak-anak mereka dan kepada kanak-kanak yang telah mengambil produk ini dan berasa tidak sihat, hendaklah mendapatkan nasihat perubatan dengan segera,” kata agensi-agensi tersebut. – Agensi
















