Graduan UUM.

RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari 2026, merupakan antara rancangan pendidikan terbaik yang pernah digagaskan Kerajaan Madani, sejurus Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)
melabuhkan tirai.

Tinjauan awal mendapati rata-rata pensyarah dan pelajar IPTA menyambut baik RPTM 2026-2035 yang bakal dikemudi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bersama seluruh IPT di Malaysia. Dalam kalangan warga UKM dan UUM sendiri, ada yang melihat RPTM 2026-2035 sebagai kesinambungan pelan jangka panjang yang moden dan terkini, dan ada pula yang menganggapnya sebagai suatu lonjakan holistik yang jelas dan praktikal.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh menyifatkan RPTM 2026-2035 sebagai suatu inisiatif yang ditunggu-tunggu kerana Rancangan Pendidikan ini merupakan suatu langkah berwawasan yang rentas masa depan dan tangkis cabaran. Justeru, warga IPTA menaruh keyakinan penuh terhadap jentera kerajaan hari ini dalam memacu halatuju pendidikan tinggi negara.

Antara intipati RPTM 2026-2035 adalah menjadi dokumen hidup yang dinamik dan beradaptasi, berpaksikan kemanusiaan, meletakkan AI sebagai pemboleh daya utama di samping turut memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh bahasa,
kemahiran pelbagai bahasa dan kompetensi global.

RPTM 2026-2035 juga menampilkan sepuluh bidang tujahan seperti pelajar berpaksikan kemanusiaan, bercirikan keusahawanan dan adaptif, bakat berprestasi tinggi dipacu matlamat, kompetensi TVET lanjutan, kemampanan kewangan, tadbir urus tangkas dan berdaya tahan, RDICE yang bertanggungjawab, keunggulan global, pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat serta kesihatan planet dan kemampanan dan penyampaian responsif dan dinamik.

Jika 10 bidang tujahan ini dilihat mempunyai kesalinghubungan di antara satu sama lain, ada baiknya jika formula yang sama dipanjangkan kepada rangkaian Universiti Awam (UA) negara yang mempunyai bidang tumpuan, kepakaran serta keunikan berbeza. Sudah sampai masanya universiti awam bergerak sebagai satu entiti dalam menempuh cabaran globalisasi.

Sesungguhnya, andai petani saling bergantung, tanah gersang menjadi kebun. Andai nakhoda belayar sendiri, bahtera sepi menempuh tsunami.

Gabungan sinergi dan kepakaran ini pastinya dapat menghasilkan program-program pembelajaran baharu yang berimpak besar yang inovatif, bervariasi serta praktikal. Program sebegini semestinya mampu menarik minat banyak pihak, termasuk rakan
antarabangsa, sekali gus mendokong secara kolektif, beberapa tujahan dalam RPTM 2026-2035 sendiri.

Jika Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh berbangga dengan ilmu Pendidikan dan Latihan Guru, Universiti Utara Malaysia (UUM) mendominasi ilmu Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan ilmu Sains Pertanian serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendahului dalam Sains Marin dan Perikanan, UKM juga tidak kurang hebatnya dengan mencatat kedudukan nombor satu di Malaysia dalam Times Higher Education by World University Rankings by Subject 2025, untuk subjek Undang-undang dan beberapa subjek dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Ini juga termasuk beberapa subjek yang tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia seperti Kejuruteraan, Teknologi dan Sains Maklumat serta Farmasi.

Selain itu, 50 tahun perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang didokong oleh UKM merupakan usaha yang tidak boleh dipandang ringan. Apa yang pasti, hampir kesemua bidang pengajian yang disebut di atas boleh memanfaatkan sentuhan
Teknologi AI untuk menjadikannya lebih bernilai. Justeru, penulis percaya, semua IPTA mempunyai keistimewaan masing-masing yang boleh digabung jalin dalam menghasilkan sesuatu yang mencabar kelaziman.

Jika masyarakat dunia mencari Top Business School di Malaysia , maka universiti yang ditubuhkan pada 16 Februari 1984 iaitu UUM mestilah diangkat secara bersama-sama. Begitulah juga kepada bidang tujahan masing-masing walaupun ada pengkategorian oleh KPT kepada universiti penyelidikan, universiti teknikal, universiti komprehensif mahupun universiti berfokus.

Jika kita biasa mendengar program Ijazah berkembar bersama universiti luar negara, barangkali kita boleh menganjak paradigma dengan mengadakan program ijazah AI inter varsiti dalam kalangan UA di negara ini; berbekalkan kerangka dan
acuan yang sama.

Sebagai contoh, program Sastera Liberal merupakan antara program akademik yang boleh dikembangkan dengan menggabung jalin kursus-kursus berteraskan AI dari pelbagai UA. Lebih menarik jika UA dapat membangun Program Ijazah
Bekembar inter varsiti tempatan yang baharu dan segar; yang boleh ditawarkan melalui saluran pembelajaran sepanjang hayat.

Semua ini tidak mustahil jika semua UA sederap bergabung tenaga; kerana pada akhirnya, kita semua menyantuni pemegang taruh yang sama.

Penulis percaya, penyampaian gagasan RPTM 2026-2035 perlu sampai ke akar umbi di mana semua UA bertindak sebagai katalis dalam menyebar luas agenda yang telah dipersetujui.

Kesediaan UA Malaysia menyambut baton yang diberi bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Pemerkasaan program akademik berdaya tahan, jaringan industri dan hubungan global akan diteruskan dengan lebih agresif.

Sesungguhnya, keunikan yang dimiliki oleh seluruh komuniti UA Malaysia pula boleh dimanfaatkan sepenuhnya sebagai asas kreativiti dalam setiap produk ilmiah yang lebih moden dan beradaptasi.

Usaha pemantapan modal insan akan sentiasa dilestarikan agar produk universiti tempatan terus mengukir kejayaan yang membanggakan.

Dengan gabungan aspirasi yang berkesinambungan dan teguh dari seluruh keluarga UA Malaysia, kita boleh menyediakan pendidikan berkualiti, memacu penyelidikan dan inovasi, meningkatkan kebolehpasaran graduan, serta mempromosikan
Malaysia sebagai hab pendidikan tersohor dunia.

Oleh: Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia &

Prof. Madya Dr. Azianura Hani Shaari
Timbalan Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat UKM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast