KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan idea Kolaborasi Agung meskipun kedengaran hebat namun belum meyakinkan khususnya daripada sudut hala tuju dan matlamat akhirnya.
Menurutnya, idea itu menimbulkan persoalan mengapa perlu direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya ia bukan kerjasama politik.
Kata beliau, sekiranya benar idea itu sekadar kolaborasi maka ia perlu dijadikan sebagai kerjasama bagi tujuan sosial atau kemasyarakatan seperti kenduri besar atau himpunan muafakat tanpa sebarang matlamat politik.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sejauh mana gagasan Kolaborasi Agung itu dapat dipertahankan melihat kepada tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menarik balik kenyataan berhubung wujud dua kem dalam DAP.
“Jika ucapan penggulungan, ucapan paling penting seorang presiden parti selepas ucapan dasar di hadapan seluruh perwakilan dari seluruh negara yang boleh dianggap sebagai amanat agung untuk dibawa ke setiap ahli di cawangan, dari pedalaman Sabah hinggalah ke hujung selatan Johor pun boleh disanggah dan akhirnya ditarik balik maka apakah jaminan Kolaborasi Agung tidak akan berdepan penolakan dan sanggahan yang sama?” soalnya di Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan ke mana idea rumah bangsa mahu dijulang UMNO ketika penegasan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu kononnya tidak pernah bekerjasama dengan DAP pun boleh disanggah secara terbuka.
“Mujur kenyataan itu belum lagi ditarik balik oleh Timbalan Presiden UMNO,” sindirnya.
Tambah beliau, Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa pada hakikatnya masih berupa idea yang belum jelas bentuk dan arah tuju.
“Namanya hebat tetapi isinya belum meyakinkan. Di pihak kita, terus bekerja dan kita jadikan Kerajaan Madani paling lama bertahan pun hanyalah sepenggal, Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
















