Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Cadangan Kolaborasi Agung perlu diperjelaskan dengan lebih berhati-hati supaya tidak disalah tafsir sebagai langkah mengundur ke politik lama yang sedang ditinggalkan semua parti politik.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam suasana politik hari ini, orang Melayu bukan menuntut penyatuan slogan sebaliknya penyelesaian tentang kos sara hidup, peluang ekonomi, integriti kepimpinan dan masa depan generasi baharu.

Menurutnya, sebagai rakan dalam kerajaan, beliau percaya pemulihan sokongan Melayu kepada UMNO dan kerajaan lebih meyakinkan jika digerakkan melalui pembaharuan dasar, prestasi pentadbiran dan kejujuran politik.

Sebaliknya pemulihan itu bukan melalui pembentukan blok berasaskan identiti yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan kerajaan dan masyarakat majmuk.

“Kerajaan Perpaduan ini wujud kerana kita sama-sama sedar bahawa Malaysia tidak boleh terus dibina atas politik pengelompokan.

“Kekuatan kita hari ini ialah kesediaan untuk memerintah bersama, walaupun berbeza latar dan sejarah politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai idea kolaborasi agung yang dicadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, Sabtu lalu.

Gagasan itu bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini merentasi kepentingan politik serta turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat berteraskan kepentingan Melayu-Islam.

Sementara itu, Mahfuz yakin Ahmad Zahid tidak akan membenarkan sebarang inisiatif walaupun dengan niat baik yang boleh mengaburkan komitmen bersama terhadap perpaduan nasional yang sedang dibina dengan susah-payah.

“Semoga sebarang bentuk kerjasama politik selepas ini dan apa jua namanya, diletakkan di atas landasan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya, bukan dibaca sebagai isyarat politik sempit yang boleh melemahkan keyakinan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast