Dr. Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA – Tadbir urus universiti awam perlu diperkasakan supaya lebih tangkas serta selari dengan dasar dan pekeliling kerajaan khususnya arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau menegaskan, universiti awam sebagai badan berkanun tidak boleh mengabaikan pekeliling sedia ada dan tertakluk sepenuhnya kepada arahan serta dasar kerajaan yang perlu dilaksanakan secara berdisiplin.

Menurutnya, isu tadbir urus bukan sahaja melibatkan universiti malah turut merangkumi kementerian, politeknik dan kolej komuniti, justeru pematuhan terhadap pekeliling yang dikeluarkan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan prestasi institusi pendidikan tinggi berada pada tahap terbaik.

“Apabila arahan diberikan, ia hendaklah dilaksanakan. Universiti tidak boleh memilih sama ada mahu melaksanakan pekeliling atau sebaliknya kerana universiti adalah badan berkanun dan tertakluk kepada apa yang diarahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, kerajaan turut memberi tumpuan untuk memperkasa politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) agar setara dengan arus pembangunan pendidikan tinggi negara, sekali gus menghapuskan persepsi bahawa institusi berkenaan merupakan pendidikan kelas kedua.

Jelasnya, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan peluasan status politeknik premier dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Sudah sampai masanya kita memberi perhatian serius kepada pembangunan politeknik sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara. Pendidikan di peringkat politeknik tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua,” katanya.

Menurut Zambry, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 10 politeknik dinaik taraf kepada status politeknik premier dalam tempoh sedekad akan datang, dengan keupayaan menawarkan program pengajian di peringkat ijazah.

“Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada masa yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast