KUALA LUMPUR – Sinidiket perjudian dalam talian yang menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama di rumah sewa dan premis perniagaan kecil di sekitar Bukit Bintang tumpas dalam serbuan malam, semalam.
Kegiatan itu dikesan menerusi operasi khas dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara dan Jalan Bedara bermula jam 10.30 malam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu dijalankan membabitkan seramai 25 pegawai dari Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya susulan risikan bersepadu selama sebulan.
Dalam operasi itu, pasukan melakukan pemeriksaan ke atas 31 lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, (4) lelaki warga Myanmar dan (3) lelaki warga Indonesia berumur di antara 21 hingga 50 tahun telah ditahan.
“Pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan sindiket, melibatkan 59 unit tablet pelbagai jenama, (3) unit monitor, (3) unit dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan satu unit CCTV wifi turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Modus operandi sindiket ini menawarkan pelaburan wang antara RM50 hingga RM500 bagi setiap individu, dengan janji pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.
“Premis terbabit beroperasi setiap hari dan semakin aktif khususnya pada waktu malam hingga lewat pagi,” tambahnya,
Menurut beliau, sindiket ini juga dikesan mengamalkan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik penjaga warga asing dikenali sebagai ‘Captain‘, selain membuat pengecaman wajah sebagai tapisan pelanggan sebelum dibenarkan masuk,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua tahanan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
Zakaria berkata, dua lelaki dan satu perempuan warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
“Kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan dan memberi jaminan akan meneruskan tindakan tegas dan bersepadu kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya. – MalaysiaGazette
















