Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai ahli dewan negara pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018
Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai ahli dewan negara pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendahului Majlis Angkat Sumpah 222 Ahli-Ahli Parlimen di Persidangan Parlimen Ke-14 hari ini.

Beliau mengkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Langkawi di hadapan Speaker Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohamad Ariff Mohd. Yusof pada pukul 10.25 pagi.

Terdahulu, semasa majlis mengangkat sumpah Mohamad Ariff sebagai Speaker Dewan Rakyat terganggu sedikit apabila ada bantahan pembangkang yang bertindak keluar dewan gara gara tidak bersetuju prosedur pemilihan beliau mengetuai Dewan Rakyat.

Beliau kemudian meminta ahli-ahli Parlimen kawasan masing-masing secara bergilir supaya mengangkat sumpah d sebelum menandatangani buku mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pandan selepas Tun M.

Beliau disusuli dengan wakil rakyat yang menyandang portfolio 10 kementerian utama kecuali Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana masih bercuti sakit selepas menjalani pembedahan baru baru ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bagan disusuli Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebagai Ahli Parlimen Kota Raja dan diikuti Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Menteri termuda Kabinet negara, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Muar diikuti Ahli Parlimen Sepang merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin yang hadir bertongkat.

Ahli Parlimen termuda, P.  Prabakaran (Batu-PH) dan bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya-PH) antara wakil rakyat kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang turut mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat.

Turut hadir dan mengangkat sumpah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendahului barisan pembangkang terdiri daripada 54 wakil rakyat mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk diikuti bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Wakil rakyat MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Air Hitam (BN) manakala Datuk Seri Shahidan Kassim pula mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Arau (BN) dengan berkerusi roda dari tempat duduk beliau.

Datuk Seri M. Saravanan dan C. Sivarraajh masing-masing dari MIC juga mengangkat sumpah mewakili kawasan masing-masing iaitu Tapah dan Cameron Highlands selaku barisan pembangkang.

Bagi Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mendahului barisannya seramai 18 orang mengangkat sumpah sebagai wakil Dewan Rakyat.

Esok, Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V akan berangkat ke Parlimen bagi istiadat perasmian persidangan Parlimen ke-14 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast