KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM2.12 juta.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa melakukan perbuatan itu di bank berbeza sekitar ibu negara pada waktu berlainan.
Pertuduhan pertama, bekas PTD ke-30 itu didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM969,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Muamalat Berhad miliknya.
Perbuatan didakwa dilakukan di antara 7 Mei dan 25 Jun tahun lalu di cawangan utama bank berkenaan di Jalan Melaka di sini.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang berjumlah RM474,850 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di antara 2 Februari 2024 dan 3 Disember 2024, di Menara Maybank di sini.
Pertuduhan ketiga, Muhammad Hafizuddeain turut didakwa melakukan perbuatan itu melibatkan sejumlah RM488,550 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di antara 15 Januari dan 7 November tahun lalu di tempat sama.
Bagi pertuduhan keempat, wang berjumlah RM190,000 dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di cawangan Bukit Damansara di sini di antara 12 Mac dan 21 Ogos tahun lalu.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin iaitu setiap seorang RM125,000.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan manakala pasport diserahkan sebagai syarat jaminan hingga kes selesai.
Beliau menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan kes dan penyerahan dokumen.
Muhammad Hafizuddeain merupakan Panglima Tentera Darat (PTD) pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin.
Beliau yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM memohon pasport tertuduh ditahan kerana wujud kebarangkalian bekas PTD itu melarikan diri.
Sementara itu, peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Muhammad Hafizuddeain memohon jaminan dikurangkan kepada RM100,000 dan tidak membantah terhadap syarat jaminan.
Sambil mengakui tuduhan itu serius, pasukan pembelaan memohon mahkamah mempertimbang bahawa bekas PTD itu telah berkhidmat selama 40 tahun dalam pasukan tentera dan pernah bertugas di Bosnia selama setahun.
Aizul Rohan yang hadir bersama-sama Muhammad Kausar Mohd. Khairi berhujah, jumlah yang dicadangkan itu keterlaluan kerana tertuduh yang kini telah bersara, berpendapatan RM15,000 sebulan.
“Semua akaun anak guam telah dibekukan, jaminan tinggi hanya akan menghukum tertuduh. Saya memohon mahkamah mengambil kira isterinya juga didakwa di mahkamah dan bertanggungjawab menyediakan jaminan,” ujar peguam.
Dalam pada itu, Wan Shaharuddin mengucapkan terima kasih terhadap khidmat Muhammad Hafizuddeain kepada negara namun jaminan yang dicadangkan adalah munasabah.
“Wang jaminan bukan daripada poket tertuduh tapi penjamin beliau. Isteri ketiganya juga didakwa di Mahkamah Sesyen 8. Saya memohon dua penjamin yang tiada hubungan kekeluargaan dengan tertuduh,” ujar beliau.
Selain Wan Shaharuddin, pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.
Beliau dilantik ke jawatan PTD bermula 6 September 2023 sebelum menyerahkan surat untuk bersara awal daripada perkhidmatan tentera bermula 1 Januari lalu.
Sebelum ini, media melaporkan bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).
SPRM memaklumkan bekas PTD itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember tahun lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.
Selepas menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan, SPRM turut menyita tiga jongkong emas, kenderaan mewah serta 23 utas jam jenama Rolex.
Sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau selesai. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Bekas PTD, isteri hadir ke mahkamah hadapi pertuduhan pengubahan wang haram
















