Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba di Mahkamah Sesyen KL bagi sebutan kes berkaitan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 22 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Salwani Anuar hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Bekas PTD itu tiba kira-kira pukul 8.10 pagi manakala isterinya hadir berkerusi roda, menuju ke Mahkamah Sesyen berasingan bagi menghadapi pertuduhan masing-masing.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan media semalam memaklumkan, pihaknya memperoleh izin Peguam Negara untuk mendakwa pasangan itu.

Menurut kenyataan, Muhammad Hafizuddeain dan isteri berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Muhammad Hafizuddiean turut didakwa atas dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini esok.

Isteri bekas Panglima Tentera Darat, Salwani Anuar @ Kamarudin tiba di Mahkamah Sesyen KL bagi sebutan kes berkaitan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2026

Dalam prosiding berasingan di ibu negara esok, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar akan dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan berkaitan salah guna kuasa.

Beliau akan menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

Mohd. Nizam juga akan didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Salwani pula akan dituduh dengan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Muhammad Hafizuddeain dilantik ke jawatan PTD bermula 6 September 2023 sebelum menyerahkan surat untuk bersara awal daripada perkhidmatan tentera bermula 1 Januari lalu.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya ditahan SPRM berkait projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast