Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan tiada klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia – Amerika Syarikat (ART) yang menjejaskan dasar Bumiputera atau menyediakan hak istimewa kepada syarikat Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, klausa itu melibatkan perkara berkaitan kepentingan domestik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dasar Bumiputera.

Jelas beliau, dalam konteks peranan GLC, perjanjian ART tidak mengehadkan peranan GLC dalam pembangunan ekonomi negara.

“Malah kerajaan tetap berkuasa penuh untuk menentukan sokongan yang bersesuaian termasuk inisiatif yang bertujuan memperkukuhkan ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.

“Bagi perkara berkaitan cukai digital, ART tidak menghalang Malaysia untuk mengenakan cukai digital selagi ianya tidak mendiskriminasi syarikat AS,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Syahir Bin Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta MITI menyatakan bagaimana kerajaan memastikan peruntukan ART tidak mendiskriminasi kepentingan domestik, termasuk keupayaan menyokong GLC, dasar Bumiputera, kutipan cukai digital, perlindungan industri pertanian dan perikanan tempatan serta autoriti badan kawal selia strategik negara.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan menekankan bahawa setiap perjanjian perdagangan antarabangsa yang dirundingkan termasuk ART sentiasa dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati bagi memastikan ia tidak menjejaskan kepentingan domestik dan kedaulatan negara.

“Setiap komitmen yang dipersetujui melalui Perjanjian ini adalah selaras dengan undang-undang domestik sedia ada dan keutamaan kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast