Dua daripada tiga lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Jasin di hari ini atas pertuduhan pertuduhan bersama menyebabkan kematian seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya kepada umum di parkir sebuah pasar raya di sini tahun lalu.

JASIN – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jasin di hari ini atas pertuduhan pertuduhan bersama menyebabkan kematian seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya kepada umum di parkir sebuah pasar raya di sini tahun lalu.

Tertuduh, K.Krishnamorthy, 67, Mohd Azmi Mohd Nor, 35, dan M Yogesvaran, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama menyebabkan kematian seorang lelaki K Gunalan, 52 dengan mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan Bandar Jasin Bestari, Jasin antara jam 7.37 petang sehingga 8.59 malam pada 27 Julai lalu dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri mencadangkan jaminan RM12,000 mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan kesemua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mazana pada penghakimannya kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon.

Mahkamah turut menetapkan 25 Februari ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Krishnamorthy diwakili peguam Datuk K. Shashi Kumar manakala Yogesvaran diwakili peguam Mathan Anandaram dan Mohd Azmi Mohd Nor tidak diwakili peguam.

Media tahun lalu melaporkan seorang lelaki maut dipercayai dibelasah sekumpulan individu selepas menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai.

Dalam kejadian 7.30 malam 27 Julai itu, mangsa kemudian melarikan diri ke arah bangunan kedai berhampiran namun terus dikejar dan dipukul sehingga ke kawasan semak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama.

Si pelaku kemudian telah meminta bantuan orang ramai di situ sebelum beberapa individu lagi memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga lelaki itu meninggal dunia serta merta di lokasi.

Terdahulu, tular penemuan mayat seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa pembunuhan di Jasin Bestari. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast