SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan dana khas sebanyak RM10 juta untuk pembersihan kawasan kampung, pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembersihan oleh pihak berkuasa tempatan(PBT) bakal menumpukan kawasan hotspot yang paling banyak mendapat aduan paling banyak termasuk kawasan pelupusan sampah haram.
“Jadi kita menyediakan wang itu untuk membuat penyelesaian pungutan sisa pepejal dengan lebih baik berbanding hanya meletak tong sampah yang kemudian jadi longgokan sampah yang tidak terkawal.
“Walaupun kutipan kita buat dua kali pagi dan dua kali petang, tetapi kadang-kadang kita pungut pagi, jam 9 pagi tong sampah sudah penuh kembali.
“Ia berlaku terutama di kawasan kampung yang tidak ada capaian kutipan, itu pun kita dah buat kutipan. Bila kita buat tong roro, ia jadi longgokan sampah dari pasar malam, dari tempat lain-lain,” katanya ketika ditemui di Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, di sini hari ini.
Amirudin menambah, masalah sampah yang tidak terkawal iniĀ berpunca daripada operasi inap desa, inap dusun dan chalet di kawasan kampung.
Menurutnya, keadaan berkenaan akhirnya menjejaskan kebersihan dan keindahan kampung-kampung berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau berkata, daerah Hulu Langat antara kawasan yang paling banyak menerima aduan pengurusan sampah.
Lantaran itu, beliau mahu isu kebersihan dan sampah ditangani pada tahun ini.
“Kita tak nak tuding lagi, kita tak nak minta lagi, now state sediakan RM10 juta, saya nak tahun 2026 tidak ada lagi isu sampah-sampah berlonggok di kawasan-kawasan kampung yang telah mengganggu keindahan terutama kampung-kampung tradisi kita.
“Ini termasuk kampung baru Cina. Ini termasuk kawasan-kawasan komuniti India yang mungkin terkeluar daripada pihak majlis. Sama ada diurus oleh majlis ataupun diurus oleh pihak PBT, saya minta diuruskan dengan baik, yang saya mahu hal ini kita selesaikan dan kita mutamadkan,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk inisiatif menambah baik fasiliti Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini; RM2 juta untuk fasiliti Pelancongan Masjid Negeri dan RM2 juta bagi pendaftaran strata.
Selain itu katanya lagi, kerajaan negeri itu turut menyediakan RM500,000 untuk kelas percuma bahasa ketiga yang bakal dimulakan pada 9 Febuari ini juga jumlah dana yang sama bagi kelas literasi kewangan di sekolah-sekolah. – MalaysiaGazette
















