KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijemput menghadiri mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu pada Khamis ini kerana telah meletakkan jawatan.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berikutan itu hanya ahli Majlis Tertinggi PN (MTPN) disenaraikan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Sebabnya, peletakan jawatan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Perlembagaan PN ini agak unik kerana Pengerusi PN boleh memegang jawatan selagi dikehendaki oleh Majlis Tertinggi, walaupun sehingga 10 atau 20 tahun jika MT menghendakinya.
“Namun, apabila seseorang itu meletakkan jawatan, maka peletakan jawatan tersebut perlu dibawa dan diluluskan oleh majlis tertinggi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, keputusan sama turut terpakai terhadap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang juga telah mengemukakan peletakan jawatan sebelum ini.
“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari sudut perundangan, peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin ini telah berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
“Walaupun telah berkuat kuasa, pemakluman peletakan jawatan tersebut tetap perlu dibawa ke Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.
Semalam, satu surat jemputan mesyuarat luar biasa PN yang dijadualkan berlangsung Khamis ini dikongsi oleh gabungan tersebut telah mengundang kritikan beberapa pemimpin Bersatu yang mempersoalkan ketiadaan nama Muhyiddin dalam senarai jemputan.
Ditanya mengenai kedudukan Muhyiddin pada mesyuarat itu, Takiyuddin berkata, sekiranya majoriti ahli MT PN tidak bersetuju menerima peletakan jawatan berkenaan, Muhyiddin akan kekal sebagai Pengerusi PN.
“Jika Majlis Tertinggi PN meluluskan peletakan jawatan Pengerusi PN, barulah perbincangan mengenai pemilihan pengerusi baharu akan diadakan.
“Namun, jika tidak diluluskan, maka secara undang-undang beliau kekal sebagai pengerusi dan tidak perlu melantik pengerusi baharu,” katanya.
Mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN itu dijadualkan berlangsung di ibu pejabat Parti Gerakan dengan penglibatan 16 anggota yang masih memegang jawatan dalam gabungan tersebut. – MalaysiaGazette
















