ISKANDAR PUTERI – Polis menahan 26 individu atas pelbagai kesalahan selepas menyerbu lapan buah premis pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah ini dalam Operasi Noda yang bermula 1 pagi kelmarin hingga 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, operasi tersebut dilakukan di lima premis pusat hiburan dan tiga pusat urut di kawasan Bukit Indah, Mutiara Rini, Nusa Bestari dan Bandaraya Iskandar Puteri.
“Hasil serbuan polis Iskandar Puteri bersama-sama Pasukan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya menahan 26 orang atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan warga asing iaitu empat wanita Myanmar, dua wanita Vietnam, dua wanita Thailand dan lima wanita China.
“Ini termasuk seorang lelaki China, tiga lelaki Myanmar dan dua lelaki Vietnam. Mereka berusia antara 21 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati lima yang ditahan mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah termasuk seorang mempunyai rekod masih dikehendaki bersabit kes dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Jelasnya, daripada serbuan itu pihak polis merampas barang-barang antaranya tiga unit komputer riba, satu unit tetikus, satu unit mikrofon, dua unit mixer, tiga unit DJ controller dan satu unit speaker.
Turut dirampas katanya, lima unit mikrofon tanpa wayar, tiga unit speaker, 22 keping resit perniagaan, sekeping Malaysia National QR, tiga helai kertas jadual kerja, empat keping kertas pakej urutan dan harga, lapan botol minyak urut, empat keping punch card, sembilan tuala, tiga paket tisu serta wang tunai RM5,616.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor, Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1953/63, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.- MalaysiaGazette
















